Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menafikan maklumat tular di media sosial mengenai beliau ditangkap polis selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan di pusat hiburan sekitar Damansara, Petaling Jaya, awal pagi Isnin.

Ketika dihubungi Astro AWANI beliau memaklumkan akan membuat kenyataan dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Sebelum ini tular laporan yang menyatakan seorang ADUN Selangor dan beberapa pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi, semalam.

Laporan itu menyatakan bahawa penahanan itu berpunca daripada laporan terhadap bunyi bising daripada sebuah pesta persendirian di lokasi terbabit.

Ketua Polis Negara ,Tan Sri Abdul Hamid Bador dijangka mengadakan sidang media khas pada jam 3.00 petang nanti.