PENGKALAN HULU: Kerajaan negeri Perak digesa meneruskan inisiatif membangunkan kawasan pintu masuk sempadan antara Pengkalan Hulu, Perak dan Betong, Thailand yang telah tertangguh kerana pandemik COVID-19.

Ia perlu bagi merancakkan semula sektor pelancongan yang semakin suram selepas Bazar Sempadan yang mempunyai 40 gerai tumpuan pelancong sejak 20 tahun lalu dirobohkan tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, sebanyak RM1.5 juta peruntukan diluluskan untuk pembinaan semula gerai  berkenaan tetapi tidak dapat diteruskan kerana kekangan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam masa sama, katanya, pembangunan bandar sempadan yang diusahakan oleh pihak swasta dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut tertangguh kerana pandemik.

“Saya begitu tertarik sekali apabila Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) mengumumkan satu program ‘border gateway’.

“Jadi bila kita sebut ‘border gateway’ itu, terpampang di kepala saya ketika itu ‘border gateway' Pengkalan Hulu.

“Jadi inilah tempat yang akan dimajukan oleh kerajaan negeri sebagai ‘border gateway’ yang kita lihat tempat ini cukup sesuai untuk kerajaan negeri untuk menjana pendapatan.

“Yang kedua tempat ini cukup sesuai untuk kita memberi ruang dan peluang, masyarakat di Pengkalan Hulu untuk dapat peluang pekerjaan, yang ketiga, yang paling-paling menarik, tempat sini boleh dijadikan tarikan pelancong yang datang ke negeri Perak,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau projek pembangunan di sempadan Malaysia-Thailand yang tertangguh, baru-baru ini.



Aznel mencadangkan, sebagai permulaan, kerajaan negeri boleh mengembalikan peruntukan sekitar RM1 juta dalam Belanjawan 2023, untuk membina semula Bazar Sempadan kerana ia menjadi tumpuan pelancong sebelum dirobohkan.

Baru-baru ini, Saarani ketika membentangkan Pelan Perak Sejahtera 2030 telah mengumumkan pembangunan 'Border Gateway'.

Menurut Aznel, kerajaan negeri boleh menimbangkan cadangan untuk memanfaatkan bangunan kompleks komersial berstrata yang tertangguh pembinaanya akibat pandemik sebelum ini.

Katanya, bangunan dua tingkat itu yang mempunyai keluasan lebih 48,000 kaki persegi boleh dijadikan pusat bilik sejuk untuk kegunaan kedua-dua belah pihak di Malaysia dan Thailand.

Selain itu, ujarnya, baki kawasan lapang seluas kira-kira 12 hektar yang berhampiran boleh dijadikan pusat transit kontena seperti yang terdapat di Bukit Kayu Hitam, Kedah.