Skip to main content

Malaysia

Aeroangkasa, teknologi tinggi buka lembaran baharu ekonomi Sarawak

KUCHING, 11 Mei -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi tabik hormat kepada kawalan kehormatan PDRM pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak di Dataran Perbarisan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.  Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg_BERNAMA
Wan Junaidi memberi tabik hormat kepada kawalan kehormatan PDRM pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak di Dataran Perbarisan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini. - Gambar Bernama

KUCHING: Langkah strategik Sarawak untuk meneroka sektor aeroangkasa dan teknologi tinggi mampu membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi negeri itu, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata industri itu berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya bagi profesional, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memberi berpendapatan lumayan.

“Aeroangkasa merangkumi bidang pengeluaran alat ganti, penyelenggaraan pesawat, teknologi satelit, teknologi dron dan ekonomi digital. ​​​​​​

“Dengan pendidikan dan latihan mencukupi, saya percaya anak Sarawak mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab teknologi tinggi dan aeroangkasa yang disegani di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan jambatan, jalan pesisir, Jalan Penghubung Sabah-Sarawak serta jalan ke Brunei dijangka meningkatkan hubungan, memendekkan masa perjalanan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat. 

Selain itu, beliau menyifatkan penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak AirBorneo sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan udara domestik dan serantau.

“Saya berharap AirBorneo dapat meningkatkan aksesibiliti penerbangan ke Sarawak termasuk di kawasan pedalaman. Usaha ini boleh merangsang sektor pelancongan dari luar dan ke pedalaman Sarawak, sekali gus mampu menstabilkan kos penerbangan ke Sarawak,” katanya. 

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar sebelum ini berkata persidangan DUN kali ini akan melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026, perundangan penting yang bertujuan memperkukuh agenda keselamatan makanan negeri menerusi pembangunan padi serta beras secara tersusun.

RUU itu antara empat RUU yang dijadualkan dibentangkan pada persidangan yang akan berlangsung selama lapan hari bermula hari ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video