MALAYSIA
Aerotrain KLIA bakal beroperasi semula dalam masa terdekat - Loke

Anthony Loke berkata, satu sidang media mengenai perkembangan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat. - Bernama
SEPANG: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal beroperasi semula tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, satu sidang media mengenai perkembangan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Dalam masa terdekat saya akan buat sidang media, sekarang kita fokus kepada Selangor Aero Park (SAP) dahulu,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis pecah tanah SAP, di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani.Pada Januari lalu, Mohd Izani memaklumkan, Aerotrain KLIA dijangka kembali beroperasi pada suku kedua 2025, dengan status kemajuan projek telah mencapai 85 peratus.
Projek itu dilaporkan tidak dapat memenuhi tarikh untuk beroperasi semula pada 31 Januari lalu berikutan tempoh ujian pemeriksaan masih lagi berlangsung.
Sementara itu, Loke menambah, kerajaan turut merancang untuk melaksanakan rombakan menyeluruh terhadap sistem kawalan trafik udara di KLIA bagi meningkatkan kecekapan operasi dan menampung lonjakan trafik pesawat.
Jelasnya, inisiatif itu susulan unjuran pertumbuhan pesat penerbangan kargo dan penumpang di KLIA dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sekali gus memerlukan sistem kawalan trafik udara yang lebih moden.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami