AGC terima kertas siasatan kadet PALAPES Syamsul Haris minggu lalu

Mohd Dusuki memberitahu, pihaknya masih meneliti hasil siasatan yang dikemukakan polis sebelum sebarang tindakan lanjut diambil. - Gambar fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR : Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan pihaknya menerima kertas siasatan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lalu.
Ringkasan AI
- Peguam Negara menerima kertas siasatan kes kematian pelatih PALAPES UTM Skudai daripada PDRM minggu lalu; masih meneliti hasil siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.
- Kes kematian Syamsul Haris semula diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kini disiasat semula sebagai kes bunuh; ibu mangsa mohon gali semula kubur anaknya bagi bedah siasat kedua.
- Bedah siasat kedua temui kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa; kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Jabatan Peguam Negara.
Kes kematian Allahyarham Syamsul Haris pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sebelum Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes itu disiasat semula sebagai kes bunuh.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, mengemukakan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapangan Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Bedah siasat kali kedua yang dijalankan kemudiannya menemui beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
Berpandukan laporan siasatan yang dikemukakan polis, Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


