BALIK PULAU: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang, Fahmi Zainol, didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan memukul isterinya dalam kejadian 22 Februari lepas.
Fahmi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Advertisement
Mengikut pertuduhan Fahmi, 35, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di kediaman mereka di No. 3, Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama kerana menyebabkan kecederaan terhadap pasangan
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Nazran Mohd Sham, bersama Ikmal Affandi Zulkifli dan Lim Jin Hong, manakala Fahmi diwakili oleh peguam Shamsher Singh Thind.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon agar jumlah jaminan ditetapkan sebanyak RM5,000.
Bagaimanapun, Shamsher membantah dengan menyatakan bahawa Fahmi telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Majistret Chia kemudiannya membenarkan Fahmi diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula 28 April depan bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Fahmi yang diiringi polis hadir ke mahkamah pagi tadi bagi proses pertuduhan kesnya.
Media sebelum ini melaporkan terdapat dakwaan tular di media sosial berkaitan seorang Exco Pulau Pinang ditahan polis selepas dipercayai memukul isterinya dalam kejadian di Pantai Jerejak, pada Ahad lepas.
Exco itu ditahan sepasukan pegawai polis pada jam 6 petang namun dibebas dengan jaminan.