KUALA LUMPUR : Agensi kerajaan digesa untuk bersikap profesional dan neutral agar tidak diperalat bagi tujuan kepentingan politik pihak pemerintah.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menerusi satu kenyataan bersama pada Jumaat, menzahirkan kebimbangan berikutan trend berkenaan yang didakwa berlaku secara berleluasa antaranya melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Langkah itu dilihat sebagai tekanan serta ugutan terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang tidak menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, dakwa Majlis Presiden PH. 

“Seperti yang telah diperlakukan kepada Lim Guan Eng serta Syed Saddiq melalui SPRM serta pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara atas tuduhan rasuah yang tidak berasas, kini seluruh negara menyaksikan bagaimana siasatan PDRM terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang ingin ke Parlimen pada Isnin lalu dipercepat,” memetik kenyataan itu. 

Malah, PH menyifatkan tindakan itu sebagai 'talian hayat' terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan tidak mempunyai sokongan majoriti.

PH turut beranggapan siasatan terhadap seseorang individu yang pernah didakwa melakukan perbuatan khianat kini tidak lagi diteruskan susulan memberikan sokongan terhadap Perdana Menteri.