NATIONAL
Agensi Nuklear Malaysia, LKTN perkenal varieti baharu kenaf lebih tahan iklim

Nama MK merujuk kepada 'Malaysia Kenaf' sekali gus memperkukuh identiti tempatan dalam usaha memperkasa industri kenaf negara. - Gambar fail
KOTA BHARU: Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melancarkan dua varieti benih kenaf baharu iaitu Malaysia Kenaf (MK)1 dan MK2, yang menawarkan potensi hasil lebih tinggi dan lebih daya tahan terhadap cabaran perubahan iklim.
Ringkasan AI
- Agensi Nuklear Malaysia dan LKTN melancarkan dua varieti benih kenaf baharu, MK1 dan MK2, yang menawarkan hasil lebih tinggi dan daya tahan terhadap perubahan iklim.
- Varieti MK1 dan MK2 dihasilkan melalui teknologi penyinaran gama, meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf.
- Varieti MK1 dan MK2 telah mendapat pengiktirafan rasmi dan menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 serta Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030.
"MK1 dan MK2 menunjukkan peningkatan hasil yang ketara berbanding varieti induk V36 yang telah digunakan melebihi 15 tahun di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berata berdasarkan kajian di plot tanaman LKTN di Beseri, Perlis anggaran berat batang basah di ladang antara 24 hingga 32 tan sehektar iaitu peningkatan 20 hingga 60 peratus berbanding hasil semasa varieti V36 antara 20 hingga 25 tan sehektar
Rosli berkata selain potensi hasil yang lebih tinggi, kedua-dua varieti itu menampilkan ciri rupa fizikal yang unik termasuk daun berbentuk palmate serta kelopak bunga MK1 yang berwarna kuning cair sepenuhnya, ciri-ciri yang menjadikan ia mudah untuk dikenal pasti.
"Varieti MK1 dan MK2 telah mendapat pengiktirafan rasmi melalui kelulusan Pemfailan Varieti Baharu Tumbuhan daripada Jabatan Pertanian Malaysia dengan nombor pemfailan PVBT 003/25 (MK1) dan PVBT 004/25 (MK2).
"Nama MK merujuk kepada 'Malaysia Kenaf' sekali gus ia memperkukuh identiti tempatan dalam usaha memperkasa industri kenaf negara," katanya.
Beliau berkata pembangunan varieti baharu tersebut adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara.
Tambah Rosli ia selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi.
"Kerjasama strategik ini membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif selari dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami