Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap semua agensi penguatkuasaan agar memahami tugas pengamal media selain menghargai sumbangan mereka.

Pada masa sama, beliau mahu pendedahan dan liputan dilakukan media dan pelbagai pihak di media sosial mengenai agensi berkenaan akan dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai.

"Kita tahu di dalam dunia tanpa sempadan ini, usaha-usaha dilakukan pelbagai pihak termasuk media sosial adalah juga penting untuk memberikan liputan dan pendedahan. Mudah-mudahan liputan dan pendedahan ini akan memberikan kesedaran keseluruhan kepada khalayak," katanya semasa berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan di Kediaman Timbalan Perdana Menteri Sri Satria di sini hari ini.

Tambahnya, hubungan yang erat sudah sedia terjalin antara agensi penguatkuasaan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pengamal media sejak sekian lama.

"Tentunya liputan yang diberikan kepada agensi penguatkuasaan oleh pihak media telah memberikan pelbagai sanjungan terhadap kejayaan dicapai penguatkuasaan," kata Ahmad Zahid.

Beliau tidak menafikan ada pihak media yang memberikan laporan yang negatif mengenai agensi penguatkuasa berkenaan.

"Tentu ada pihak media memberikan laporan yang sebaliknya, kerana ia tidak bertujuan negatif, namun untuk memberi sekadar peringatan kepada badan penguatkuasa supaya hanya menggunakan kuasa yang ada dan bertindak mengikut tatacara yang ditentukan," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memahami bahawa kebanyakan penulisan yang baik disalahertikan pembaca atau penonton.

"Inilah ketikanya apabila saya anjurkan perjumpaan berbuka puasa ini untuk saling memaafkan, saya fikir tidak ada tujuan untuk menuding jari antara satu sama lain sebaliknya, adalah berlandaskan kepada tugas masing-masing yang amat diperlukan supaya ia difahami," kata beliau.

Tegasnya, sebagai orang yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat, beliau perlu mengambil tahu dengan usaha dilakukan usaha agensi penguatkuasaan terutama PDRM.

"Namun pada masa sama, saya harus menjaga rakan-rakan saya iaitu media yang pelbagai bentuk untuk mendapat liputan berita. Saya harap apa yang kita akan hadapi akan datang akan beri hubungan ‘chemistry’ lebih baik dan dipertahankan oleh kita semua," tambahnya.