KUALA LUMPUR: Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jame' Asar Hassanil Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam hari ini.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan rombongan di masjid tersebut disambut Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah dan barisan kepimpinan kerajaan Brunei Darussalam.

Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama Pengiran Muda Mahkota.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah tiba di Brunei melalui Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, Lawas pada Khamis malam.

Keberangkatan tiba rombongan pasangan diraja itu bersama konvoi kembara 25 kenderaan dalam rangka lawatan khas sempena Kembara Kenali Borneo.

Seri Paduka Baginda berdua kini bersemayam di Bandar Seri Begawan sebelum menyambung Kembara Kenali Borneo di Bandaraya Miri, Sarawak pada Sabtu.