Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.
Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
"Justeru, beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran," titah baginda ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri S. A. Vigneswaran, barisan jemaah menteri, Anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tetamu jemputan serta dif kehormat.
Seri Paduka turut merakamkan penghargaan ke atas kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kadar jenayah, membasmi fahaman radikal dan ajaran-ajaran sesat serta ideologi militan yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.
"Tidak dilupakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memainkan peranan sangat penting dalam menjaga keselamatan negara, tanpa kita sedari pengorbanan mereka tidak terhingga demi tanah air tercinta.
"Beta serta kerajaan akan terus memperkukuhkan kedua-dua pasukan keselamatan tersebut," titah Seri Paduka dan menambah, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan perolehan kelengkapan dan kenderaan, menjaga kebajikan anggota seperti menyediakan kuarters dan sebagainya.
Sultan Muhammad V juga mengalu-alukan langkah kerajaan menempatkan lebih banyak aset dan fasiliti keselamatan seperti pangkalan operasi hadapan helikopter serta 'Sea Basing' di perairan Pantai Timur Sabah bagi meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.
Kerjasama dan persefahaman yang telah dicapai dengan kerajaan Filipina berhubung kawalan keselamatan di Laut Sulu telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutama dalam bidang keselamatan, titah baginda.
Menyentuh keadaan ekonomi bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh, kerajaan komited untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020.
"Justeru, kerajaan akan terus berusaha gigih untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi meningkatkan lagi saiz ekonomi daripada RM1.3 trilion pada masa ini kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.
"Di samping itu, untuk jangka panjang, kerajaan akan turut berusaha menjadikan Malaysia antara 20 buah negara ekonomi utama dunia," titah Seri Paduka.
Sultan Muhammad V juga bertitah penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia memberi kesan terhadap rakyat, namun penyusutan ringgit adalah disebabkan oleh faktor luaran dan dalaman.
"Beta percaya, kerajaan akan bertindak dengan komitmen sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," titahnya.
Mengenai langkah mengurangkan beban rakyat terutama kumpulan B40 (pendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (40 peratus pertengahan), Seri Paduka percaya pelbagai inisiatif dijana termasuk pemberian subdisi bersasar, meningkatkan kadar dan mempelbagaikan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),
bantuan kepada peniaga kecil dan sebagainya.
Menyentuh soal pemilikan rumah untuk golongan sasar, Seri Paduka bertitah setakat ini 77.1 peratus daripada sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 2013 hingga 2018 berada pada peringkat pelaksanaan termasuk yang telah siap.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, kerajaan juga bercadang membina 10,000 unit rumah untuk golongan muda (M40) yang dipanggil Rumah Mampu Milik yang dijangka bermula tahun ini dengan 5,000 unit akan dibina di atas tanah milik kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur.
Selain itu, Sultan Muhammad V menegaskan, kerajaan juga akan meminda Akta Kebankrapan 1967 bagi memberi peluang kedua kepada golongan bankrap untuk bangkit kembali memulakan kehidupan baru dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.
Seri Paduka turut memuji penekanan kerajaan terhadap pembangunan prasarana dan pengangkutan awam terutamanya yang berasaskan rel seperti Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), Transit Aliran Massa (MRT), Laluan Rel Pantai Timur dan sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi meningkatkan hubungan dan
mobiliti rakyat.
Menyentuh mengenai usaha melindungi kanak-kanak daripada penjenayah seksual yang mengeksploitasi mereka, Seri Paduka bertitah kerajaan akan membentangkan rang undang-undang jenayah seksual kanak-kanak untuk menangani masalah itu secara komprehensif.
Sultan Muhammad V turut menyambut baik dan menyokong Transformasi Nasional 2050 (TN50) seperti yang digagaskan Perdana Menteri dan menyifatkan ia suatu visi 30 tahun ke hadapan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya di persada dunia.
Mengulas mengenai kedudukan dan kesucian agama Islam, Seri Paduka berharap langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan, termasuklah meneruskan penguatkuasaan pentadbiran agama Islam.
"Pada masa yang sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu minoriti Rohingya di Myanmar," titah Seri Paduka.
Sultan Muhammad V turut mengambil kesempatan menzahirkan sukacita terhadap kunjungan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang juga Penjaga Dua Kota Suci ke Malaysia minggu lepas.
"Sesungguhnya lawatan itu mengukuhkan kedua-dua negara yang berada pada tahap terbaik," titah baginda.
Terdahulu, Sultan Muhammad V yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Disember tahun lepas berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 di dataran Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 6 April sementara Dewan Negara bersidang selama sembilan hari dari 17 hingga 27 April. -- BERNAMA
Bernama
Mon Mar 06 2017
Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan. - Gambar Bernama
Aaron-Wooi Yik Olimpian Tahunan 2024
Ia mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka menyumbang pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Berakhirnya pemerintahan Baath Syria buka jalan kepada keamanan - Erdogan
Erdogan mengulangi komitmen Turkiye untuk terus menyokong golongan tertindas di seluruh dunia.
Kesan kenaikan cukai import minyak sawit oleh India bersifat sementara - KPK
Kenaikan itu sebahagian daripada usaha India melindungi harga minyak tempatan dan menyokong industri pertanian domestiknya.
Ketiadaan akauntabiliti antarabangsa bolehkan Israel lakukan jenayah terhadap rakyat Palestin - PM Mustafa
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Wakil Khas Kesatuan Eropah untuk Proses Keamanan Asia Barat Sven Koopmans pada Rabu.
Qatar akan buka semula kedutaan di Damsyik selepas 13 tahun
Doha akan membuka semula kedutaannya di Syria tidak lama lagi selepas memuktamadkan pengaturan yang diperlukan.
Pusat Data Bagan Datuk bakal jadi pencetus perubahan ekonomi digital global
Ia bagi menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden dan membuka peluang dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Rusia: Penipu curi puluhan juta dolar melalui pusat panggilan ditahan
Penipu yang mencuri puluhan juta dolar daripada penduduk lebih 20 negara melalui tiga pusat panggilan telah ditahan di Moscow.
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Agong dukacita rasuah, penyelewengan dalam kerajaan masih berlaku
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan beka