TAWAU: Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Santapan Malam Bersama Masyarakat Tawau, di sini malam Ahad, disambut meriah dengan kehadiran 1,000 orang termasuk orang-orang kenamaan dan penduduk setempat.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau yang mula dipenuhi tetamu serta masyarakat tempatan pada 7 malam.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba pada 8.50 malam dengan disambut Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, Jemaah Menteri Kerajaan Sabah, dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang mewakili Premier Sarawak.

Sejurus keberangkatan tiba, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat khemah-khemah bersebelahan dewan masyarakat itu, yang mempamerkan makanan tradisional pelbagai etnik seperti Tidung, Jawa, Cocos dan Bugis.

Antara produk makanan tempatan Tawau yang dipamerkan ialah amplang, kuih bulan, mee Tawau manakala makanan tradisional etnik pula ialah soto banjar, palekko dan punti ne rabus.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat khemah pameran bagi industri kecil dan sederhana yang memaparkan pelbagai produk jualan rakyat di daerah ini.

Usai lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kemudiannya berangkat ke dalam Dewan Masyarakat Tawau untuk santapan malam bersama tetamu sebelum upacara pelancaran Kembara Kenali Borneo untuk mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Gimik pelancaran itu disempurnakan dengan Al-Sultan Abdullah meletakkan tangan Seri Paduka Baginda di panel tangan hidraulik bagi menandakan perasmian program pengembaraan selama 11 hari dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan kedua-dua negeri itu serta Brunei.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut dipersembahkan pelbagai persembahan kebudayaan dari pelbagai etnik oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Al-Sultan Abdullah juga turut berkenan mendendangkan lagu bertajuk "Butakah Cinta" daripada Kumpulan Spring bagi memeriahkan majlis berkenaan sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat meninggalkan majlis kira-kira 10.30 malam.

Pada Isnin, jadual pengembaraan yang padat menanti Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan acara pelepasan Kembara Kenali Borneo pada 8.30 pagi, oleh Yang Dipertua Negeri di Bulatan 0 KM berhampiran Padang Bandaran Tawau di sini.

Perjalanan menuju ke Lahad Datu akan menyaksikan persinggahan pertama di Menara Kayangan, sebelum melawat ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan menghadiri santapan tengah hari serta majlis penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf di Dewan Perdana Lahad Datu, sebelum meneruskan perjalanan ke Sandakan.

-- BERNAMA