MARAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Nurul Al-Quran peringkat Pahang dan Bacaan Tahlil untuk Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah serta Almarhum Sultan Abu Bakar di Masjid Jamek Chenor di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda Seri Paduka berdua.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 6.20 petang disambut oleh barisan pentadbiran negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis khatam al-Quran dan bacaan Yassin dipimpin oleh Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2003 Datuk Ahmad Faizul Ghazali manakala Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman memimpin bacaan tahlil.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sebelum berbuka puasa dengan penduduk daerah Maran di perkarangan masjid.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang merupakan Sultan Pahang kelima, mangkat pada 22 Mei 2019 di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur manakala Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang keempat, pula mangkat pada 5 Mei 1974 di Pekan.

-- BERNAMA