Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah malam ini menyempurnakan pelancaran Citrawarna 1Malaysia 2013, program promosi pelancongan tahunan yang menampilkan kebudayaan rakyat Malaysia, di Dataran Merdeka di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat menghadiri acara anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu, yang bertema 'Visit Malaysia Year 2014 - Celebrating 1Malaysia Truly Asia'.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz serta kira-kira 100,000 pelancong tempatan dan asing juga menyaksikan acara gemilang penuh berwarna-warni itu.

Acara edisi ke-15 itu juga memperlihatkan bangunan Sultan Abdul Samad dan bangunan berdekatan Dataran Mereka dilimpahi cahaya.

Seramai 6,700 peserta mewakili persatuan rakyat Malaysia, penggiat industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta belia mengambil bahagian dalam acara itu, yang bermula sejak 5 petang.

Selain itu, seramai 258 peserta 'MegaFam' terdiri daripada pengamal media dan penulis pengembaraan dari 24 negara termasuk Kemboja, Indonesia, Vietnam, China, Hong Kong, Jepun, Kanada, Arab Saudi dan New Zealand turut dijemput menyaksikan Citrawarna bagi membuat ulasan di negara masing-masing, yang secara tidak langsung akan mempromosikan Malaysia.

Acara itu, yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 Radio Televisyen Malaysia dan portal MyTourismTV.com serta TrulyAsiaTV.com, dimulakan dengan ucapan aluan daripada Mohamed Nazri disusuli Perarakan Watikah Pelancaran untuk dipersembahkan kepada Tuanku Abdul Halim.

Citrawarna 1Malaysia melibatkan 15 segmen termasuk ekopelancongan, inap desa, pelancongan sukan, beli-belah, warisan dan 'Magic of the Night'.

Antara acara yang menjadi tumpuan malam ini ialah persembahan Gegaran Gendang Citrawarna 1Malaysia oleh 500 peserta selain perarakan lapan kereta berhias, perarakan 200 kereta Porsche dan persembahan 'Mega Endang' iaitu gerak tari tradisional.

Para peserta kemudian berarak sepanjang 1.5km dari Jalan Raja melalui Jalan Raja Laut dan Jalan Isfahan sehingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sejurus selepas pelancaran Citrawarna 1Malaysia.

Acara itu diakhiri dengan persembahan bunga api sebelum Seri Paduka berdua berangkat pulang.