Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri China Li Keqiang sempena lawatan Seri Paduka ke Beijing, yang bermula Rabu lepas.

Li menghadap Tuanku Abdul Halim di Dewan Ziguangge, yang dikhaskan untuk majlis-majlis sambutan negara di Zhongnanghai di sini pada pukul 4 petang.

Turut menghadiri majlis itu ialah anakanda Seri Paduka, Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang merupakan menteri pengiring dan Duta Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin.

Dalam pertemuan itu, Li berkata China menghargai usaha, perhatian dan kebijaksanaan Malaysia dalam hubungan kedua-dua buah negara.

Perdana menteri itu turut menyatakan penghargaan terhadap persahabatan yang terjalin selama 40 tahun antara Malaysia dan China menerusi hubungan yang cukup erat.

Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di sini pada Rabu untuk lawatan negara selama tiga hari.

Lawatan negara oleh Seri Paduka berdua merupakan undangan daripada Presiden China Xi Jinping selain membalas lawatan Xi ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.

Lawatan itu juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang bermula pada 31 Mei 1974.