Skip to main content

Dunia

Trump ingatkan kepentingan perpaduan sempena ulang tahun ke-250 AS

U.S. President Donald Trump delivers remarks during a visit to a Mack Trucks' assembly plant, in Macungie, Pennsylvania, U.S., June 23, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein
TRUMP: Kita semua berkongsi kejayaan dan perpaduan sebagai nilai bersama, namun ini adalah satu peringatan: kita tidak boleh kehilangan perpaduan itu. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Donald Trump pada Sabtu memperingati ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) dengan mengingatkan kepentingan mengekalkan perpaduan negara, selain menekankan keperluan pilihan raya yang adil serta kebebasan media, lapor Anadolu Ajansi.

"Pada kesempatan yang penuh bermakna sempena ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat, kita meraikan sejarah negara kita," kata Trump dalam sepucuk surat yang dikongsi akhbar New York Post.

Trump berkata bahawa "dalam semangat kemurahan hati dan dengan harapan untuk memperkukuh perpaduan", generasi rakyat Amerika telah mengalu-alukan kedatangan penduduk dari seluruh dunia untuk bersama-sama membina negara itu.

"Kita semua berkongsi kejayaan dan perpaduan sebagai nilai bersama, namun ini adalah satu peringatan: kita tidak boleh kehilangan perpaduan itu," katanya.

"Demi Amerika dan seluruh dunia, kita mesti kuat, berkuasa dan jujur. Kita mesti mempunyai pilihan raya yang adil serta media yang bebas dan adil, yang ketika ini tidak kita miliki," katanya.

Menyentuh mengenai perpaduan negara, Trump menegaskan bahawa rakyat Amerika ialah "satu keluarga dan satu negara", disatukan di bawah bendera yang sama serta kebebasan yang dikongsi bersama, dan bahawa "setiap kali cara hidup kita diancam, kita akan bangkit mempertahankannya."

"Kita ialah rakyat Amerika. Kita tidak pernah mengalah, kita tidak pernah berputus asa dan negara kita hanya akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya," katanya.

Trump dijadual mengadakan satu perhimpunan politik di National Mall di Washington ketika rakyat AS menyambut Hari Kemerdekaan dengan pertunjukan bunga api dan perarakan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement