Skip to main content

Malaysia

Pemandu disyaki terbabit kes langgar lari maut di Jalan Tun Razak ditahan

KUALA LUMPUR, 1 Jan -- Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa (tengah) ketika bertemu pengamal media selepas menyertai Op Samseng Jalanan di Jalan Ampang, awal pagi tadi.  Polis mengeluarkan 378 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi yang dijalankan bermula 2.45 pagi.  Sebanyak 90 buah motosikal disita kerana kesalahan ubah suai kenderaan dan hasil pemeriksaan mendapati majoriti penunggang yang melakukan kesalahan terdiri daripada golon
Mohd Zamzuri berkata pemandu berusia 30 tahun itu telah hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira 6.30 petang tadi sebelum ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menahan pemandu lelaki dipercayai terlibat kes langgar lari seorang penunggang motosikal hingga maut di Jalan Tun Razak berdekatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 29 tahun  yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan HKL,”  katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis kemudian berjaya mengesan kereta dipercayai terlibat dalam kes itu dan mendapati ia merupakan sebuah kenderaan sambung bayar yang digunakan oleh pemandu semasa kejadian.

Mohd Zamzuri berkata pemandu berusia 30 tahun itu telah hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira 6.30 petang tadi sebelum ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek dibawa menjalani ujian pernafasan alkohol serta saringan awal air kencing. Hasil saringan awal mendapati kedua-dua ujian adalah negatif,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement