KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat pada Khamis 'ceria' dengan telatah Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing kerana beberapa kali menggunakan perkataan 'kongkalikong'.

Ahli Parlimen Bintulu dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, kedengaran menyebut 'kongkalikong' yang dituju kepada beberapa Ahli Parlimen yang mencelah pada sesi penggulungan kementeriannya.

Antara yang kerap menerima panggilan tersebut ialah Teresa Kok (PH-Seputeh).

Ketika mencelah, Teresa antaranya membangkitkan cadangan agar MOTAC mengkaji minat dan citarasa pelancong asing yang berkunjung ke negara ini termasuk memfokuskan daripada aspek kesenian dan makanan tempatan.

Beliau berpandangan, kebanyakan pelancong asing yang datang ke Malaysia tidak cenderung untuk membeli-belah, sebaliknya mencari keunikan yang ada dalam negara seperti Central Market dan China Town di Petaling Street.

"Ini punya (Teresa) tak ada bahas, kongkalikong..," kata King Sing ketika Teresa bangkit.

Bagaimanapun, beliau mengakui pandangan yang dikemukakan Teresa mempunyai asas dan kementerian akan meneliti cadangan tersebut.

Selang beberapa minit, Teresa sekali lagi 'mencuba nasib' untuk mencelah mengenai perkara yang dibangkitkan di Parlimen Bukit Bintang dengan alasan ia terletak berdekatan dengan Parlimen Seputeh.

"Bukit Bintang sebelah Seputeh," kata Teresa sebelum King Sing berkata; "You jangan kongkalikong. Nanti bincang luar lah."

King Sing turut kedengaran menyebut kongkalikong pada akhir penggulungannya apabila Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mahu mencelah.

"Yang Berhormat sedikit dari Sungai Petani," kata Mohamed Taufig sebelum dibalas "ini kongkalikong Sungai Petani."

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah 'kongkalikong' bermakna tidak jujur atau berterang-terang.