Skip to main content

Malaysia

Undang Rembau baharu: Dato’-Dato’ Lembaga Luak mengadap Tunku Besar Seri Menanti hari ini

Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz
YAM Tunku Besar Seri Menanti dijadual berangkat ke Balai Mengadap Kecil bagi menerima mengadap rombongan tersebut. - Foto Instagram/tunkuali.ns.official
Advertisement

KUALA LUMPUR: Proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baharu dijangka memasuki fasa penting apabila Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau dijadual mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, petang ini.

Istiadat mengadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada jam 3 petang itu bertujuan memohon perkenan bagi penetapan tarikh Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang untuk bakal Undang Rembau.

Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali pada Khamis, pihak media dijemput membuat liputan istiadat berkenaan.

Istiadat tersebut merupakan antara proses penting dalam adat dan tradisi pemerintahan Negeri Sembilan sebelum bakal Undang dizahirkan secara rasmi sebagai Undang Luak Rembau yang baharu.

Mengikut atur cara, rombongan Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau akan tiba di Istana Besar Seri Menanti pada jam 2.30 petang sebelum disambut Orang Empat Istana dan dibawa ke Balairong Kecil.

YAM Tunku Besar Seri Menanti kemudiannya dijadual berangkat ke Balai Mengadap Kecil bagi menerima mengadap rombongan tersebut.

Istiadat akan dimulakan dengan haluan sembah, diikuti penyerahan tepak sirih sebagai adat mengadap sebelum Dato’-Dato’ Lembaga menyampaikan hasrat kehadiran mereka.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan perhatian kerana ia bakal membuka lembaran baharu dalam institusi Undang Luak Rembau, yang memainkan peranan penting dalam sistem Adat Perpatih serta struktur pemerintahan tradisional Negeri Sembilan.

Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini serta keputusan daripada istiadat berkenaan sejurus ia selesai berlangsung menerusi Buletin AWANI Khas jam 5 petang ini.

Must Watch Video

Advertisement