KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen perlu bersedia meluluskan sejumlah peruntukan kepada kerajaan untuk membiayai peluang pekerjaan kepada rakyat, selagi ia telus dan mencapai sasaran.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata usaha merancakkan peluang pekerjaan seperti skim jaminan pekerjaan amat penting supaya kerajaan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor swasta mencipta peluang pekerjaan.

Sebaliknya, menurut Shahril kerajaan boleh terlibat secara langsung untuk satu tempoh jangka masa sederhana bagi menyediakan pekerjaan yang sewajarnya.

"Kerajaan itu sendiri boleh membiayai pekerjaan-pekerjaan yang sektor swasta tidak akan wujudkan.

"Ia seperti sektor sosial seperti 'caregivers' dan contoh lain yang membantu output ekonomi dan sosial...iaitu pekerjaan dalam sektor-sektor tertentu yang boleh membantu kualiti kemasyarakatan.

"Apa yang penting adalah ahli-ahli Parlimen dan ahli politik bersedia memberi satu kekuatan perbelanjaan kepada kerajaan dan kerajaan perlu telus dalam perbelanjaan tersebut untuk membiayai pekerjaan-pekerjaan ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Peluang Kerja | Parlimen perlu sedia bahas perbelanjaan fiskal


Mengulas lanjut, Shahril berkata antara menjadi kebimbangan pada ketika ini adalah isu birokrasi melibatkan mereka yang memohon dana atau bantuan terutama melibatkan komuniti perniagaan.

"Segala program yang sudah baik dirancang oleh kerajaan kadang-kala masalahnya melibatkan pelaksanaan melalui birokrasi yang terlampau rumit.

"Jadi saya fikir, perlu juga satu bentuk pemikiran bahawa waktu ini bukanlah seperti waktu yang biasa, pada masa sama bukanlah kita melonggarkan piawaian sewenang-wenangnya.

"Tetapi dari segi pelaksanaan itu, prosedur apa yang boleh dipermudahkan buat masa sekarang, kita permudahkanlah," katanya.

Justeru katanya penting supaya semua parti politik meletakkan penyelesaian masalah ekonomi sebagai agenda utama.

Isu birokrasi ini berbangkit apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa meminta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) supaya kelulusan geran dan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digital diproses dan dibuat keputusan dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari.