Seorang ahli politik dan lima lagi individu termasuk seorang warga Bangladesh hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan menculik seorang pemaju hartanah.

Datuk Ramachandran Kandasamy, yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 13 bagi kawasan Batang Kali, dituduh bersubahat menculik Datuk Seri Arumugam Renganathan di bawah seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 3 Akta Culik.

Sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika tidak dihukum mati.

Lima lagi suspek iaitu warga Bangladesh, Kasi Nasrul, Azhari Shahrom Shaihmi, Mohd Durai Abdullah, Sheikh Ismail Sheikh Hassan dan Vikneswarar Nagentiran dituduh menculik Arumugam di bawah Sek 3, Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika tidak dihukum mati.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir. Tiada jaminan diberikan.

Pada 27 Jun lalu, mayat mangsa ditemui dibuang di lereng bukit di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10.30 pagi, 10 Jun lepas.

Susulan itu, polis menahan menahan 11 lelaki berusia antara 20 hingga 56 tahun.

Tarikh 27 Ogos ditetapkan untuk pengurusan kes.