MALAYSIA
Ahmad Zahid ketuai delegasi Malaysia ke GPDRR di Geneva

Ahmad Zahid dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Meja Bulat Peringkat Menteri yang bertajuk Safe Schools Now: Protecting Every Child from Disaster and Climate Risk. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-8 Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva, Switzerland pada 4 dan 5 Jun ini.
Ringkasan AI
- Malaysia sertai GPDRR di Geneva: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai delegasi Malaysia dalam Sesi Ke-8 Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) untuk membincangkan usaha mitigasi bencana.
- Komitmen Malaysia dalam pengurusan bencana: Beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara serta menegaskan pelaksanaan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, Program Sekolah Selamat, dan Program Pengurangan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti.
- Kerjasama dengan PBB dan rakan antarabangsa: Ahmad Zahid dijadualkan bertemu Wakil Khas PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana untuk membincangkan potensi kerjasama, seiring dengan usaha Malaysia dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai 2015-2030.
"Beliau akan menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam pengurusan bencana melalui pelancaran Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, pelaksanaan Program Sekolah Selamat dan Program Pengurangan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti serta pelancaran Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana," menurut kenyataan itu.
Semasa di Geneva, Ahmad Zahid dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana Kamal Kishore.
"Mesyuarat berkenaan akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mempertimbangkan potensi kerjasama dalam pengurusan risiko bencana bersama PBB dan rakan-rakan antarabangsa yang lain," menurut kenyataan itu.
GPDRR adalah platform antarabangsa yang penting untuk menilai pencapaian negara-negara anggota PBB termasuk Malaysia dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.
Malaysia merupakan perintis rangkaian ini dan akan kekal teguh dalam komitmennya untuk mengurus dan mencegah bencana selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan 2030.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami