Skip to main content

Malaysia

'AI ada kepintaran tapi tiada nurani' - PM ingatkan HASiL imbangi automasi dan ihsan

Anwar berkata pentadbiran cukai mesti berpaksikan keadilan, integriti, serta ihsan terhadap rakyat. - Astro AWANI/Shahir Omar
Anwar berkata pentadbiran cukai mesti berpaksikan keadilan, integriti, serta ihsan terhadap rakyat. - Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

CYBERJAYA: Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pertimbangan manusiawi dalam pentadbiran percukaian, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri mengingatkan warga Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bahawa secanggih mana pun teknologi digital yang diguna pakai, ia tidak mempunyai nilai moral untuk menggantikan akal budi serta nurani manusia. 

"Teknologi memiliki kepintaran, tetapi tidak dapat menggantikan akal budi, nurani, dan pertimbangan manusia. Justeru, kemajuan teknologi mesti sentiasa dipandu oleh nilai manusiawi. 

Advertisement

"Keputusan tidak boleh diserah sepenuhnya kepada teknologi tanpa pertimbangan manusia, khususnya apabila melibatkan hak dan kepentingan rakyat," katanya. 

Perdana Menteri berkata demikian melalui teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sempena sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026 di sini, pada Selasa. 

Advertisement

Mengambil ibrah sejarah pentadbiran terdahulu, Anwar merujuk kepada ketegasan Khalifah Umar al-Khattab yang menetapkan bahawa kadar cukai tanah (kharaj) mestilah menilai tahap keupayaan petani dan tidak melampaui kemampuan rakyat. 

Beliau turut menyingkap keberanian bekas Menteri Kewangan Britain, David Lloyd George menerusi People's Budget 1909 yang berani mengenakan cukai lebih tinggi terhadap pemilik harta dan golongan bangsawan demi mendanai kebajikan rakyat serta pencen warga emas. 

Mengaitkan falsafah itu dengan inisiatif moden seperti e-Invois, Anwar berkata teknologi sepatutnya menjadi alat menyempurnakan keadilan, bukan menekan pembayar cukai biasa. 

"Warga HASiL harus tegas terhadap perbuatan mengelak cukai yang disengajakan. Namun, tetap mengamalkan budi bicara berlandaskan undang-undang kepada pembayar cukai yang memerlukan bantuan dan bimbingan," jelasnya lagi. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement