AI beri manfaat, namun memudaratkan jika salah guna - Ketua Hakim Negara

Wan Ahmad Farid berkata teknologi berkenaan sudah digunakan dalam penyelidikan undang-undang, analisis kontrak, analisis ramalan serta dalam proses membuat keputusan kehakiman. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) umpama gergaji rantai yang memberikan manfaat sekiranya digunakan dengan betul, namun boleh memudaratkan jika disalahgunakan, kata Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Beliau berkata teknologi berkenaan sudah digunakan dalam penyelidikan undang-undang, analisis kontrak, analisis ramalan serta dalam proses membuat keputusan kehakiman.
Wan Ahmad Farid berkata meskipun AI mungkin boleh membantu menambah baik kerja-kerja kehakiman, hakikatnya ia tidak mampu menggantikan tugas sebenar seorang peguam atau hakim.
"Undang-undang bukan sekadar rangkaian peraturan dan duluan yang boleh diproses secara algoritma, sebaliknya adalah usaha kemanusiaan. Ia memerlukan pertimbangan dan bukan sekadar analisis.
"Ia memerlukan empati, pemahaman konteks serta penghayatan terhadap pengalaman hidup yang mendorong pihak-pihak terlibat ke hadapan dalam kes kita," katanya dalam ucaptama pada Forum Undang-Undang Malaysia 2025 (MLF 2025) di sini hari ini.
Forum edisi ketiga berkenaan menghimpunkan ahli kehakiman, pengamal undang-undang terkemuka serta pemimpin undang-undang korporat untuk bertukar pandangan mengenai cabaran undang-undang serta perkembangannya yang membentuk landskap undang-undang di Malaysia serta rantau ini.
MLF 2025 dianjurkan oleh Thomson Reuters dengan kerjasama Legal and Business Academy of Malaysia, dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) selaku rakan strategik.
Wan Ahmad Farid berkata undang-undang, seperti yang diketahui umum, bukanlah sesuatu yang statik sebaliknya berkembang seiring masyarakat, disesuaikan dengan cabaran baharu serta kemajuan teknologi.
"Sebagai hakim, peguam dan pengamal undang-undang, kita lah pelindung evolusi. Kita bukan sahaja mentafsir undang-undang tetapi juga memainkan peranan dalam pembentukannya.
"Tanggungjawab kita melangkaui lebih sekadar peruntukan undang-undang bagi memastikan keadilan bukan sahaja ditegakkan tetapi juga kekal mudah diakses, adil serta relevan untuk semua rakyat Malaysia.
"Terimalah perubahan, tetapi jangan sesekali lupakan nilai teras kita. Kejar keberkesanan, tetapi jangan sehingga mengorbankan keadilan. Gunakan teknologi, tetapi pastikan ia tidak mengurangkan nilai kemanusiaan yang menjadi teras kerja kita," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


