Skip to main content

Malaysia

AI bukan alasan jauhi STEM, sebaliknya buka peluang baharu - Chang

Chang berkata Malaysia tidak mampu merealisasikan aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju dalam teknologi sekiranya generasi muda takut untuk menceburi bidang sains dan teknologi. - Gambar fail
Chang berkata Malaysia tidak mampu merealisasikan aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju dalam teknologi sekiranya generasi muda takut untuk menceburi bidang sains dan teknologi. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Golongan muda di negara ini tidak seharusnya menjauhi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kerana bimbang kecerdasan buatan (AI) bakal mengambil alih pekerjaan, sebaliknya perlu melihat teknologi itu sebagai pemangkin kepada peluang kerjaya baharu serta peningkatan nilai tenaga kerja berkemahiran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata perkara itu penting memandangkan Malaysia masih belum mencapai sasaran nisbah 60:40 bagi aliran sains berbanding sastera yang ditetapkan sejak sekian lama, meskipun enrolmen STEM di peringkat menengah atas meningkat kepada 50.83 peratus pada 2024 daripada 41.84 peratus pada 2019.

Beliau berkata jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan menyusut 17.37 peratus antara 2018 hingga 2023, manakala enrolmen bagi Fizik, Kimia dan Biologi turut menunjukkan penurunan.

“Ramai pelajar Malaysia semakin menjauhi aliran STEM kerana beranggapan, ‘AI akan mengambil alih pekerjaan ini, jadi mengapa perlu (memilih STEM)?’ Saya bimbang dengan keadaan ini kerana persepsi dan keputusan kerjaya mereka akan menentukan hala tuju pembangunan Malaysia pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang berkata meskipun AI kini mengubah landskap pelbagai industri dan sesetengah pekerjaan mungkin tidak lagi diperlukan, trend global menunjukkan teknologi itu juga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan yang besar.

Memetik Laporan Masa Depan Pekerjaan 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), beliau berkata kira-kira 92 juta pekerjaan di seluruh dunia dijangka terjejas menjelang 2030, namun pada masa sama 170 juta pekerjaan baharu diunjurkan diwujudkan, sekali gus mencatat pertambahan bersih 78 juta pekerjaan.

Beliau berkata antara pekerjaan yang berkembang paling pesat ialah pakar data raya, jurutera teknologi kewangan (fintech), pakar AI dan pembelajaran mesin, pembangun perisian serta pakar keselamatan.

Sementara itu, kajian impak nasional TalentCorp mengenai AI, pendigitalan dan ekonomi hijau mendapati kira-kira 697,000 pekerjaan di Malaysia berisiko terjejas dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekiranya pekerja gagal meningkatkan kemahiran.

Bagaimanapun, kajian sama turut mengenal pasti 120 peranan pekerjaan baharu dengan kira-kira 70 peratus daripadanya dalam bidang AI dan teknologi digital, manakala sehingga 60 peratus majikan yang ditinjau menjangkakan AI akan mewujudkan pekerjaan dalam organisasi mereka, khususnya jawatan yang memerlukan kemahiran digital lanjutan.

Chang berkata keupayaan Malaysia terus menarik pelaburan dalam projek berkaitan STEM turut membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan, dengan pelaburan bernilai RM426.7 bilion diluluskan pada 2025 melibatkan 8,390 projek yang dijangka mewujudkan 244,902 pekerjaan baharu.

Daripada jumlah itu, RM131.3 bilion membabitkan sektor pembuatan dengan industri elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai sektor utama, manakala pelabur asing menyumbang 76.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor berkenaan.

Indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) pula mencecah 45 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, termasuk jawatan jurutera, ahli teknologi dan tenaga pakar.

Chang berkata Malaysia bagaimanapun masih berdepan kekurangan tenaga mahir tempatan apabila anggaran industri menunjukkan negara memerlukan kira-kira 50,000 jurutera berkemahiran bagi memenuhi permintaan semasa, sedangkan universiti tempatan hanya menghasilkan kira-kira 5,000 graduan kejuruteraan setahun.

“Industri menganggarkan Malaysia memerlukan kira-kira 50,000 jurutera berkemahiran untuk memenuhi permintaan semasa, sedangkan universiti tempatan menghasilkan kira-kira 5,000 graduan kejuruteraan setahun. Jadi, apa yang sebenarnya kita hadapi ialah kekurangan rakyat Malaysia yang mempunyai kelayakan untuk mengisi jawatan ini,” katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030, beliau berkata Malaysia menyasarkan pewujudan 700,000 pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital, dengan tenaga kerja mahir dijangka merangkumi lebih 35 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja menjelang 2030.

“Anda tidak perlu menjadi pelajar terbaik dalam Matematik Tambahan. Ekonomi berteknologi tinggi memerlukan juruteknik peralatan, operator proses, jurumesin ketepatan, jurutera pengujian, pemasang solar, pakar fasiliti pusat data, ahli teknologi peranti bioperubatan dan operator teknologi pertanian.

“Kebanyakan bidang ini boleh diceburi menerusi laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang berpotensi menawarkan pendapatan lebih baik berbanding ijazah bersifat umum kerana kemahiran berkenaan lebih khusus dan benar-benar diperlukan majikan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan MADANI turut menyokong pembangunan bakat STEM dan TVET menerusi pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2026.

Chang berkata Malaysia tidak mampu merealisasikan aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju dalam teknologi sekiranya generasi muda takut untuk menceburi bidang sains dan teknologi.

Menurutnya, kedaulatan teknologi juga tidak dapat dicapai tanpa rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran untuk mereka bentuk, mengendalikan serta menjamin keselamatan teknologi kritikal.

“Jangan menjauhi STEM kerana AI. Sebaliknya, dekatilah STEM kerana AI. Anda tidak semestinya perlu menjadi saintis atau jurutera, mahupun pelajar terbaik dalam Matematik di kelas.

“Namun, sekiranya anda membina asas STEM yang kukuh, anda memberi diri sendiri lebih banyak pilihan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam dunia yang menyaksikan teknologi semakin membentuk hampir setiap bidang kerjaya,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement