Ringkasan AI
- Angelina Jolie dan Brad Pitt mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung penjualan pegangan Jolie dalam ladang anggur bersama di Perancis.
- Kedua-dua pihak menyatakan keputusan itu dibuat demi kepentingan keluarga dan enggan mengulas lanjut mengenai syarat penyelesaian.
- Tindakan undang-undang Pitt terhadap syarikat minuman yang memiliki pegangan dalam Château Miraval masih diteruskan.
LOS ANGELES: Bintang Hollywood Angelina Jolie dan Brad Pitt mencapai penyelesaian luar mahkamah dalam pertikaian undang-undang berhubung penjualan pegangan Jolie dalam ladang anggur milik bersama mereka di Perancis, sekali gus menamatkan satu lagi episod panjang selepas perceraian pasangan itu.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan wakil kedua-dua pihak pada Rabu, mereka memaklumkan keputusan itu dibuat demi kepentingan keluarga dan enggan mengulas lanjut mengenai syarat penyelesaian berkenaan.
Menurut BBC, pertikaian tersebut tertumpu kepada Chateau Miraval, ladang anggur dan estet mewah di Perancis yang dibeli oleh pasangan itu pada 2008 sebelum mereka berkahwin di lokasi sama pada 2014.
Pitt mendakwa Jolie menjual pegangannya dalam syarikat itu kepada seorang ahli perniagaan Rusia tanpa persetujuannya, walaupun kedua-duanya dikatakan bersetuju bahawa sebarang penjualan saham perlu mendapat kebenaran bersama.
Pelakon berusia 62 tahun itu turut mendakwa tindakan Jolie menyebabkan beliau terpaksa bekerjasama dengan pihak yang tidak dikenalinya.
Bagaimanapun, Jolie memfailkan saman balas dengan mendakwa Pitt melakukan penderaan terhadap beliau dan anak-anak mereka ketika dalam penerbangan persendirian dari Perancis ke Los Angeles pada 2016.
Menurut dokumen mahkamah yang dipetik media antarabangsa, Jolie mendakwa Pitt memegang kepalanya secara kasar serta bertindak agresif terhadap dua anak mereka.
Beliau juga menuduh Pitt memaki hamun ahli keluarga serta mencurahkan minuman beralkohol semasa penerbangan itu.
Pitt menafikan semua dakwaan tersebut dan tidak pernah didakwa selepas siasatan polis dijalankan.
Pasangan yang pernah digelar "Brangelina" itu mula menjalin hubungan selepas membintangi filem Mr & Mrs Smith pada 2005 dan menjadi antara pasangan paling berpengaruh di Hollywood sebelum berpisah pada 2016.
Mereka memuktamadkan perceraian pada penghujung tahun lalu selepas pertarungan undang-undang yang berlarutan selama lapan tahun.
Walaupun pertikaian antara Jolie dan Pitt kini selesai, laporan BBC menyebut tindakan undang-undang Pitt terhadap syarikat minuman yang memiliki pegangan dalam Château Miraval itu masih diteruskan.