PUTRAJAYA: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam mesti diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan, bukan sekadar meningkatkan kadar penggunaan teknologi itu, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, pelaburan dalam teknologi tidak bermakna produktiviti akan meningkat secara automatik kerana AI hanya mampu memberi hasil sekiranya disokong kemahiran, data berkualiti, tadbir urus yang baik serta kesediaan mengubah proses dan cara kerja.
“Paradoks produktiviti AI berlaku apabila organisasi melabur dalam teknologi tetapi proses kerja kekal panjang, pegawai masih melakukan kerja berulang dan rakyat masih perlu menunggu lama,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Seminar AI Sektor Awam 2026 dan Penyampaian Anugerah Public Sector AI Nexus Challenge 2026, di sini, pada Khamis.
Shamsul Azri berkata, penggunaan AI dalam sektor awam perlu dinilai dari segi sama ada rakyat menerima perkhidmatan dengan lebih mudah dan cepat, masa serta langkah kerja dijimatkan dan dikurangkan, jumlah proses manual yang dapat diautomasi serta peningkatan kualiti keputusan.
“Jika kita gagal menjawab soalan-soalan di atas, kita wajib menilai semula sama ada penyelesaian itu benar-benar memberi nilai atau sekadar trend semata-mata,” katanya.
Shamsul Azri berkata, teknologi AI, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan Reformasi Kerenah Birokrasi perlu bergerak seiring bagi membentuk proses kerja yang lebih baik serta menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh.
“AI bukan matlamat akhir, AI hanyalah instrumen. Matlamat sebenar kita adalah peningkatan produktiviti, penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata, Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) yang dilaksanakan terhadap pengurusan tertinggi perkhidmatan bertujuan menambah baik kualiti kepimpinan, bukannya menghukum pegawai yang gagal mencapai tahap prestasi yang ditetapkan.
“Kita telah menganalisis keputusan pencapaian DEEP bagi suku kedua (tahun ini).
“Sebagaimana saya maklumkan sebelum ini, DEEP bukanlah untuk menghukum tetapi menambah baik kepimpinan penjawat awam, khususnya dalam kalangan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui selepas acara itu.
Semalam, media melaporkan Shamsul Azri berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam diminta meneliti semula wajaran penilaian menerusi penggunaan DEEP bagi jawatan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan sistem penilaian prestasi pegawai pengurusan tertinggi perkhidmatan awam kekal holistik, relevan dan mencerminkan dinamika cabaran pentadbiran semasa.
-- BERNAMA