KUALA LUMPUR: Keluarga penghuni penjara dibenar membuat lawatan sempena Aidilfitri tahun ini pada raya ketiga dan keempat bagi semua institusi penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Islam dan seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga.

Selain kaedah bersemuka, perjumpaan secara dalam talian (panggilan video) juga dibenarkan pada 14 hingga 16 April ini.

Menurut kenyataan itu, keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat antaranya waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dengan sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

"Selain itu, pelawat tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara memaklumkan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu melalui tempahan iaitu Sistem i-Visit di www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

"Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA