TAIZ: Sekurang-kurangnya sembilan orang awam, termasuk empat kanak-kanak dan seorang wanita hamil lapan bulan, cedera dalam serangan tembakan meriam dan penembak tepat yang didakwa dilakukan kumpulan Houthi di wilayah Taiz, Yaman.
Menurut agensi berita Saba yang dikendalikan kerajaan Yaman, serangan itu menyasarkan kawasan perumahan di bandar Taiz dan beberapa kampung di kawasan sekitarnya.
Antara kawasan yang dilaporkan menjadi sasaran ialah Tabbat al-Wakil, Jabal Jarra, Al-Qasr, Habil Salman dan kawasan kejiranan Amd di bandar Taiz.
Serangan turut dilaporkan menyasarkan beberapa kampung di daerah Sabir al-Mawadim serta Kampung Hamma di daerah Al-Misrakh, tenggara bandar berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan berkata semua mangsa yang cedera telah dibawa mendapatkan rawatan, manakala keadaan sebahagian daripada mereka dilaporkan serius.
Sehingga kini, kumpulan Houthi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan serangan tersebut.
Taiz merupakan antara wilayah yang paling teruk terkesan akibat konflik berpanjangan di Yaman, dengan pertempuran antara Houthi dan pasukan kerajaan sering menyebabkan korban dalam kalangan penduduk awam.