Hujan lebat di Hulu Terengganu semalaman menyebabkan kawasan muara sungai di Kemaman, Terengganu mula dilanda banjir awal pagi Khamis.

Fenomena air pasang besar memburukkan lagi keadaan apabila banyak penempatan penduduk di muara sungai berkenaan mula ditenggelami air.

Setakat ini, kawasan yang terjejas adalah Kampung Pulau Tempurung, Kampung Tanjung Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Paman.

Tinjauan di Kampung Pulau Tempurung mendapati kawasan berkenaan ditenggelami air sehingga satu meter.

Peningkatan paras air secara mendadak mengejutkan penduduk yang tidak menjangka kawasan itu akan dilanda banjir kerana cuaca di kawasan berkenaan baik pada sebelah petang.

Menurut seorang penduduk Mustafa Choya, ramai penduduk panik dengan paras air yang meningkat dengan pantas kerana tiada persiapan berpindah dibuat sebelum itu.

“Cuaca nampak baik petang tadi, tapi hujan mula lebat sejak 8 malam. Masa itu air naik mendadak. Kami tidak sempat buat persiapan kerana tidak menjangka akan banjir.

“Saya tidak tahu ke mana hendak pindah ini. Masih kelam kabut lagi hendak berkemas barang serta menyimpan di tempat yang lebih tinggi,” katanya di sini, malam tadi.

Nada sama disuarakan seorang lagi penduduk, Maryati Ermin kerana terkejut dengan peningkatan paras air yang begitu pantas sehingga tidak sempat memindahkan barangan rumah.

“Hujan rasanya tidaklah lebat sangat tapi yang terkejutnya airnya meningkat dengan mendadak dan parasnya dalam pulak itu.”

“Sambil berkemas barang pun, air telah melimpah masuk dalam rumah. Memang terkejut betul tengok keadaan banjir kali ini,” katanya.

Sehingga dua pagi khamis , seramai 192 mangsa dari 45 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan.

Enam pusat pemindahan baru yang diaktifkan adalah Surau Pulau Kampung Tempurung, Dewan Orang Ramai Batu 14, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, SK Chukai, Masjid Kampung Batu 16 dan Masjid Kampung Batu 14.