KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) untuk rekod 'Penyertaan Terbesar Bagi Persembahan Lagu Secara Maya' sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata rekod itu disahkan MBOR semasa sesi nyanyian beramai-ramai lagu 'Tanggal 31 Ogos' dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad secara serentak pada 20 Ogos lepas melibatkan 3,126 warga kerja di ibu pejabat serta semua pejabat wilayah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Di sebalik kekangan yang dihadapi sepanjang tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), Air Selangor telah berjaya melaksanakan acara sambutan ini menerusi platform dalam talian.

"Acara ini diadakan dengan matlamat untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja Air Selangor, di samping terus mendukung semangat #kitajagakita sepanjang tempoh pandemik yang mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata dengan tema Malaysia Prihatin, Air Selangor turut mengagihkan 150 bekalan makanan asas 'Box of Hope' kepada komuniti yang memerlukan di sekitar Semenyih, Kajang dan Sungai Ramal pada 24 Ogos lepas.

 
Sumber Facebook airselangor

-- BERNAMA