IPOH:Keadaan Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) yang didakwa musnah akibat aktiviti kuari sebenarnya masih terpelihara dan langsung tidak terjejas, ujar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Mohd Akmal dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, kawasan terjejas yang tular di media sosial baru-baru ini adalah alur air bermusim yang hanya muncul apabila hujan terutama ketika hujan lebat.

"Kawasan itu tidak terjejas dan berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusaha hasil pengeluaran batu kuari iaitu berjarak 1 kilometer dari tapak pengkuarian tersebut.

"Alur air bermusim muncul apabila berlaku hujan terutama ketika hujan lebat sahaja, hasil dari satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 ( Blok E) Hutan Simpan Segari Melintang," katanya.

Kenyataan dibuat selepas mesyuarat penyelarasan dan pemantauan berkaitan isu kemusnahan alam sekitar dikatakan akibat perusahaan kuari di hutan simpan Segari. - Pejabat Exco Perak

Kenyataan dibuat selepas mesyuarat penyelarasan dan pemantauan berkaitan isu kemusnahan alam sekitar yang dikatakan akibat perusahaan kuari di hutan simpan Segari.

Antara yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Mohamamed Zin Yusop, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perak, Datuk Ir. Ahmad Anuar Othman dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Rosli Zul.

Dalam pada itu katanya, siasatan awal mendapati operasi kuari telah melanggar syarat-syarat Environment Impact Assesment (EIA) yang ditetapkan.

Antaranya termasuk tiada Environment Officer (EO) yang bertauliah dilantik oleh operator kuari hingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan di tapak projek.

"Perintah Larangan dan Perintah Berhenti Kerja telah dikeluarkan pada 20 Januari di bawah Seksyen 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghalang operasi kuari beroperasi serta-merta.

"Semua kerja pembangunan telah dihentikan dan pelesen diarah melakukan pembaikan dan pemulihan (remedi) di alur bermusim itu.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan pihak terbabit untuk melakukan kerja penbersihan dan pemulihan segera di kawasan terjejas bermula 21 Januari dijangka selesai dalam tempoh dua minggu," jelasnya.

Kawasan terjejas yang tular di media sosial baru-baru ini adalah alur air bermusim yang hanya muncul apabila hujan terutama ketika hujan lebat. - Pejabat Exco Perak

Ujarnya lagi, sekiranya orang ramai mendapati ada jentera yang bergerak di sekitar kuari, ia bermaksud kerja pembersihan dan pemulihan sedang berjalan.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlaku kerosakan di sekitar kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam kenyataan pada Isnin berkata Pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) juga diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan di kawasan berkenaan.

Kemusnahan Alam | Kerajaan Perak arah kerja di Tanjung Batu dihentikan