BAYAN LEPAS: Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu meningkatkan literasi terhadap kelestarian perniagaan mereka untuk terus bersaing secara kompetitif di pasaran antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai ASEAN Legal Alliance (A-L-A Advisors), Dar Wong, menerusi pemahaman kelestarian yang tinggi, pengusaha PMKS dapat menerapkan elemen tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) seterusnya meraih manfaat pertumbuhan perniagaan dalam sektor ekonomi hijau.

Ujarnya lagi, situasi semasa memperlihatkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pengusaha PMKS terhadap konsep ESG.

Katanya, jika ESG masih dipandang ringan, terdapat kebarangkalian berlakunya bencana pada masa akan datang, seterusnya menghambat rantaian ekonomi global, sekali gus menjejaskan perniagaan mereka.

"Antara (punca) adalah kerana pendidikan yang diberikan tidak mencukupi. Itulah sebabnya orang kita tidak faham. Selain itu, saya rasa setiap negara di seluruh dunia... setiap kerajaan mesti membuat pendidikan yang mencukupi untuk membolehkan usahawan dan perniagaan memahaminya (ESG).

"Ini kerana menurut ahli sains... mereka sudah membuat kesimpulan bahawa pada tahun 2060, jika pelepasan karbon terus meningkat tanpa sebarang tindakan diambil, seluruh dunia ini akan mengalami pemanasan global dengan purata 1.5. darjah Celsius kenaikan suhu.

"... dan itu akan menyebabkan banyak letusan gunung berapi, tsunami dan sebagainya," kata beliau ketika menghadiri ASEAN Investment and Trade Forum (AITF) 2023 di sini.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan i-Chem Solution, Kevin Ho berpendapat, perkara utama untuk PMKS menerapkan unsur ESG dalam perniagaan adalah mengenal pasti isu-isu ESG yang terkait dengan perniagaan mereka.

Ujarnya lagi, isu-isu terkait dengan kelestarian itu juga perlu dijadikan sebagai salah satu tumpuan dalam strategi perniagaan mereka.

"Keutamaan PKS adalah untuk memahami ESG bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi juga peluang pertumbuhan. Mereka perlu memfokuskan pada integrasi ESG pada strategi bisnes mereka, memastikan kepatuhan peraturan, mendukung kelestarian alam, mempromosikan nilai-nila sosial dan memastikan tatakelola yang baik," katanya.

Tambahnya lagi, elemen kelestarian dapat membantu sektor PMKS mengurangkan risiko lingkungan dan mencipta peluang untuk inovasi dan pertumbuhan perniagaan.