SHAH ALAM: Pemantauan terhadap aktiviti keagamaan berkaitan ajaran Qadiani di Kampung Nakhoda dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan pihak berkuasa agama serta penduduk setempat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata isu berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan selama puluhan tahun, termasuk sebelum beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Menurutnya, antara cabaran utama dalam mengambil tindakan ialah status individu yang terlibat, khususnya apabila mereka telah diisytiharkan keluar daripada Islam, sekali gus mengehadkan bidang kuasa penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah.
“Bila keluar daripada Islam, apa yang boleh kita ambil tindakan daripada undang-undang JAIS dan sebagainya adalah jika mereka menghina ataupun mengamalkan sesuatu yang tidak bertepatan dengan Islam.
“Jadi, ia tidak boleh dikenakan di bawah jenayah syariah. Itu mungkin halangan ketaranya apabila mereka telah diisytiharkan keluar daripada Islam pada masa dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Air Selangor Launch, di sini, pada Selasa.
Amirudin berkata walaupun aktiviti berkenaan tidak melibatkan penggunaan premis sebagai masjid, pemantauan perlu diteruskan bagi memastikan kegiatan yang dijalankan tidak melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.
Beliau berkata penduduk kampung turut membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa agama mengenai aktiviti berkenaan, selain masjid dan surau berhampiran yang terus memberi peringatan kepada masyarakat.
Katanya, pelbagai usaha kesedaran turut dianjurkan sebelum ini termasuk program berskala besar bagi menjelaskan perbezaan antara ajaran Ahmadiyah atau Qadiani dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pada Sabtu, serbuan pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kampung Nakhoda dan Kampung Laksamana sebelum ini tidak melibatkan Masjid Kampung Nakhoda.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata operasi itu membabitkan dua premis yang dijadikan tempat keagamaan atau ibadah oleh warga asing tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Enam warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan masih ditahan bagi membolehkan pemeriksaan lanjut, termasuk untuk mengenal pasti tempoh mereka berada di negara ini.