Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Akaun WhatsApp digantung: Meta minta tempoh hingga 2 Okt - MCMC

FILE PHOTO: Meta AI logo is seen in this illustration created on September 28, 2023. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo
MCMC memaklumkan, pihaknya telah menuntut penjelasan terperinci daripada Meta selepas merekodkan sebanyak 92 aduan daripada pengguna yang terjejas setakat ini. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyedia platform teknologi dan syarikat induk WhatsApp, Meta Platforms Inc (Meta) memohon tempoh sehingga 2 Oktober ini untuk mengemukakan maklum balas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung isu akaun WhatsApp pengguna yang dilaporkan digantung, tidak lagi boleh diakses serta diceroboh tanpa kebenaran.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menuntut penjelasan terperinci daripada syarikat berkenaan selepas merekodkan sebanyak 92 aduan daripada pengguna yang terjejas setakat ini.

"Permintaan rasmi telah diserahkan kepada pihak Meta pada 25 September lalu, sebelum satu sesi perbincangan lanjut diadakan bersama wakil platform terbabit pada 28 September.

"Meta telah memohon tempoh sehingga 2 Oktober 2026 untuk memberikan maklum balas kepada MCMC.

"MCMC menggesa Meta memberikan penjelasan menyeluruh serta penyelesaian segera terhadap akaun pengguna yang terjejas dan akan menentukan tindakan susulan berdasarkan maklum balas tersebut," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu merujuk pengumuman Jurucakap Kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada petang Rabu yang memaklumkan MCMC diarahkan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu terbabit.

Fahmi menjelaskan aduan orang ramai meningkat berikutan gangguan akaun secara tiba-tiba dan kebimbangan berkaitan aktiviti penggodaman.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, isu pencerobohan akaun WhatsApp dilaporkan meningkat menerusi pelbagai modus operandi pancingan data (phishing), termasuk helah penghantaran pautan palsu dan cubaan mendapatkan kod pengesahan enam digit bagi mengambil alih akaun mangsa.

Selain insiden penggodaman terus oleh pihak ketiga, sebahagian pengguna turut berdepan tindakan penggantungan secara automatik oleh sistem pengesanan Meta sekiranya akaun mereka dikesan terlibat dalam aktiviti luar kebiasaan atau dilaporkan sebagai spam, sekali gus menyukarkan pemilik sah mendapatkan semula akses kepada akaun masing-masing.

Susulan ancaman itu, MCMC dan CyberSecurity Malaysia (CSM) sebelum ini berulang kali mengingatkan orang ramai agar mengaktifkan ciri keselamatan Pengesahan Dua Langkah (Two-Step Verification) serta tidak berkongsi kod pengesahan SMS dengan mana-mana pihak bagi mengelakkan akaun mereka disalah guna.

Must Watch Video

Advertisement