Skip to main content

Malaysia

Malaysia perkukuh tadbir urus bagi memacu potensi ekonomi biru negara

Akmal Nasrullah (foto) berkata mesyuarat berkenaan turut memperhalusi tiga kertas pertimbangan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Ekonomi Biru (JKEB), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. -fotoBERNAMA
Akmal Nasrullah (foto) berkata mesyuarat berkenaan turut memperhalusi tiga kertas pertimbangan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Ekonomi Biru (JKEB), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. -fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan memperkukuh pembangunan ekonomi biru melalui tujuh sektor pertumbuhan utama dan pelaksanaan lima program flagship nasional untuk meningkatkan daya saing sektor tersebut.
  • Mesyuarat sulung Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Biru memperhalusi tiga kertas pertimbangan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Ekonomi Biru.
  • Kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri diperkukuh melalui pembangunan hab ekonomi biru di Sabah, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkukuh pembangunan ekonomi biru negara menerusi penerokaan tujuh sektor pertumbuhan utama dan pelaksanaan lima program flagship nasional bagi merangsang sumber pertumbuhan baharu dan meningkatkan daya saing sektor berkenaan.

Usaha itu antara cadangan yang diperhalusi dalam mesyuarat sulung Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Biru (JPEB) yang dipengerusikan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Kementerian Ekonomi, di sini, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Akmal Nasrullah berkata mesyuarat berkenaan turut memperhalusi tiga kertas pertimbangan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Ekonomi Biru (JKEB), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Advertisement

“Tiga kertas berkenaan merangkumi struktur dan terma rujukan tadbir urus ekonomi biru Malaysia, pelaksanaan dasar dan Program Flagship Nasional Ekonomi Biru dan analisis isu dan cabaran, strategi intervensi dan keberhasilan mengikut sektor dalam Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia (MBEB),” katanya.

Beliau berkata keutamaan kerajaan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) ialah menterjemahkan potensi ekonomi biru kepada keberhasilan yang boleh diukur melalui pelan tindakan sektoral, pelaksanaan projek berimpak tinggi dan mekanisme pembiayaan bersesuaian tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem marin negara.

Advertisement

Ekonomi biru merujuk kepada penggunaan sumber laut dan marin secara lestari, bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan peluang pekerjaan tanpa menjejaskan kesihatan ekosistem laut.

Akmal Nasrullah berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri akan terus diperkukuh menerusi pembangunan hab ekonomi biru di Sabah, Terengganu, Kelantan dan Perak dengan memanfaatkan kelebihan ekonomi setempat.

“Perakuan JPEB akan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan JKEB, yang dijangka bermesyuarat pada Januari 2027, disusuli dengan peluncuran dokumen MBEB tertakluk kepada keputusan jawatankuasa tersebut,” katanya.

JPEB berperanan memandu hala tuju strategik, menyelaras dasar, memperakukan keutamaan pembangunan dan memantau pelaksanaan MBEB menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement