SHENZHEN: Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto, di Shenzhen pada Jumaat sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33.
Kedua-dua pemimpin bersama-sama mengumumkan pelancaran rundingan mengenai perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Xi berkata China dan Indonesia perlu memperkukuh komunikasi strategik dan meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, sekali gus melonjakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara ke tahap lebih tinggi.
Beliau menyeru supaya kedua-dua negara memikul tanggungjawab dalam era semasa dan terus berperanan sebagai kuasa penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan serta menggalakkan kemajuan umat manusia.
Xi berkata China bersedia memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dengan Indonesia menerusi pelbagai kerangka multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), APEC dan China-ASEAN.
China komited menyokong ASEAN dalam mengukuhkan perpaduan dan autonomi strategik, kata beliau sambil menyuarakan kesediaan untuk bersinergi dengan Indonesia bagi menjaga keselamatan dan pembangunan serantau, memperkukuh solidariti dan kekuatan Selatan Global serta menyumbang kepada penambahbaikan tadbir urus global.
Sementara itu, Prabowo berkata perkongsian strategik antara Indonesia dan China semakin kukuh, dengan kepercayaan politik antara kedua-dua negara terus meningkat, kerjasama ekonomi membuahkan hasil yang memberangsangkan serta pembangunan bersama dalam sektor maritim mencatatkan kemajuan positif.
Beliau turut menzahirkan kesediaan Indonesia untuk memperdalam kerjasama dengan China, selain komited menyediakan persekitaran perniagaan yang boleh dipercayai, stabil dan boleh diramal kepada perusahaan China.
-- BERNAMA-CMG