Akibat mengantuk ketika sedang memandu, seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar pokok lalu tercampak ke dalam parit ban.

Kejadian berlaku di Jalan Permatang Sintok, Kepala Batas kira-kira jam 6.44 pagi Ahad menyebabkan mangsa, Mohd Sharifuddin Md Saad, 25 tahun, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa dari arah Kepala Batas menuju ke Butterworth sebelum hilang kawalan kenderaan dipandunya kerana dipercayai mengantuk.

Tambahnya orang ramai yang menyaksikan kejadian digesa untuk tampil memberi maklumat, dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.