Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang menahan dua wanita yang menjadikan hotel-hotel di sekitar negeri ini sebagai tempat membungkus dan mengedar dadah, dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Batu Ferringhi di sini, pada Khamis.

Penolong Pengarah Penguatkuasa dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Mohammad Nurddin Ramli berkata dalam serbuan jam 4 petang itu, dua wanita itu ditahan bersama dua lelaki dipercayai sedang menjalankan urus niaga menjual dadah di hotel berkenaan.

Kesemua mereka berusia 25 hingga 40 tahun.

"Berdasarkan siasatan, dua wanita yang turut positif dadah itu nekad menjual dadah jenis syabu dan pil Eramin 5 bagi memperoleh wang untuk menjamin teman lelaki mereka yang kini direman kerana kesalahan dadah," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas syabu dan pil Eramin 5 bernilai RM1,000, peralatan membungkus dadah, dua alat dapur untuk menghisap dadah serta wang tunai sebanyak RM4,000 dipercayai hasil menjual bahan terlarang berkenaan.

"Dua lelaki yang ditahan itu turut positif dadah dan semua mereka termasuk dua wanita berkenaan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, di Bukit Mertajam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan lima individu termasuk dua wanita yang sedang berpesta dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Perda pada Khamis.

Katanya, bertindak hasil intipan dan risikan yang dijalankan sejak minggu lepas, sepasukan anggota polis menyerbu rumah sewa itu kira-kira jam 3.30 petang semalam dan menahan mereka yang berusia 18 hingga 27 tahun berkenaan.

"Semasa serbuan itu, lima individu tersebut berada di ruang tamu rumah berkenaan dan sedang menghisap dadah. Semua mereka tidak melarikan diri kerana berada di bawah pengaruh dadah," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah dadah jenis methamphetamine serta peralatan untuk menghisap dadah dan siasatan juga mendapati dua daripada lima penagih itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Berdasarkan siasatan, mereka menjadikan rumah sewa itu sebagai tempat untuk menghisap dadah sejak sebulan lepas dan seorang daripada yang ditahan berkenaan merupakan pengedar dadah di kawasan SPT," katanya.

-- BERNAMA