Skip to main content

Malaysia

AKPK lantik Azman Hasim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa hari ini

AKPK Lantik Azman Hasim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif
AKPK berkata Azman membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam industri perkhidmatan kewangan serta hampir 20 tahun berkhidmat di agensi itu. - Foto AKPK

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melantik Azman Hasim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, AKPK berkata Azman membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam industri perkhidmatan kewangan serta hampir 20 tahun berkhidmat di agensi itu.

Sejak 1 Jan, 2026 Azman menggalas tugas sebagai Pemangku CEO susulan persaraan bekas CEO, Azaddin Ngah Tasir, sekali gus memastikan peralihan kepimpinan yang lancar serta kesinambungan hala tuju strategik agensi, kata agensi itu.

Azman memiliki ijazah dalam bidang Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Wales, Aberystwyth, United Kingdom.

Beliau juga merupakan Felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Perancang Kewangan Syariah Berdaftar dengan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).

Menurut AKPK, selaku CEO, Azman akan menerajui pelaksanaan strategi jangka panjang AKPK yang utama, dengan tumpuan untuk memperteguh keupayaan kewangan, meningkatkan akses kepada khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit serta meluaskan jangkauan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Pengerusi AKPK Fauziah Hisham berkata pengalaman luas, wawasan strategik serta pemahaman mendalam Azman mengenai mandat AKPK meletakkan beliau pada kedudukan yang kukuh untuk memimpin organisasi itu ke fasa pertumbuhan dan impak yang seterusnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement