Skip to main content

Malaysia

AKPS sasar integrasi AI, tamatkan budaya kerja ‘silo’ enam agensi

PUTRAJAYA, 30 April -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kompleks Setia Perkasa, hari ini. Delegasi Bernama diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta turut disertai Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Mohd Shukri Ishak. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPEL
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata langkah itu bertujuan mewujudkan kawalan sempadan berasaskan risiko yang lebih efisien bagi mengimbangi antara kelancaran perdagangan dan keselamatan negara. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) komited menamatkan budaya kerja secara "silo" melibatkan enam agensi teras menerusi pemerkasaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta integrasi data bersepadu.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata langkah itu bertujuan mewujudkan kawalan sempadan berasaskan risiko yang lebih efisien bagi mengimbangi antara kelancaran perdagangan dan keselamatan negara.

Advertisement

Beliau berkata cabaran utama agensi yang baharu ditubuhkan itu ialah menyatukan enam latar belakang teknologi dan prosedur operasi standard berbeza melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.

“Ini adalah cabaran besar bagi saya dan bahagian teknologi digital untuk melihat pilihan yang ada bagi mengintegrasikan kesemua sistem ini menjadi satu.

"Idea itu sudah ada dan usaha untuk merealisasikan integrasi ini dalam masa terdekat sedang rancak dijalankan," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam Khamis.

Mengulas mengenai hala tuju "Sempadan Pintar", Mohd Shuhaily berkata penggunaan AI bukan sekadar hiasan teknologi mahal sebaliknya berperanan sebagai instrumen penting untuk meminimumkan ruang campur tangan manusia yang boleh membawa kepada isu integriti.

Beliau berkata integrasi data membolehkan aktiviti pemprofilan dan perkongsian maklumat antara agensi dilakukan secara automatik sekali gus memudahkan pengesanan ancaman di pintu masuk rasmi negara tanpa mengganggu aliran perdagangan antarabangsa.

"Kementerian Dalam Negeri sedang memacu moto KDN for AI, AI for KDN... kejayaan sesuatu sistem itu bergantung kepada bagaimana ia dieksploitasi oleh pengguna untuk menghasilkan keputusan yang berkesan untuk negara," katanya.

Bagi memastikan transformasi digital itu berjalan lancar, Mohd Shuhaily berkata pihaknya menghantar 11 pegawai pelaksana di barisan hadapan untuk menjalani latihan intensif di luar negara termasuk Amerika Syarikat.

"Perubahan minda harus bermula daripada pegawai yang bekerja di kaunter dan pintu masuk... saya mahu mereka pulang dengan semangat dan aspirasi baharu setelah melihat bagaimana teknologi digunakan secara global," katanya.

Selain itu, beliau berkata walaupun masih dalam fasa penyelarasan sistem, keberkesanan unit pengesanan awal AKPS telah membuahkan hasil luar jangka apabila merekodkan nilai rampasan RM82.1 juta dalam tempoh kurang setahun.

Mohd Shuhaily juga berkata integrasi sistem yang lebih mantap pada masa depan akan menutup lebih banyak ruang "jalan tikus" dan ketirisan hasil kerajaan sekali gus mengukuhkan kedaulatan sempadan Malaysia secara menyeluruh.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video