Skip to main content

Malaysia

Akses pembiayaan, latihan perdagangan penting jadikan Malaysia hab petroleum serantau

Jeyenderan berkata akses kepada pembiayaan penting kerana pedagang memerlukan kemudahan perbankan untuk membeli kargo dan memenuhi komitmen perniagaan - Foto Maritime Network Sdn Bhd
Jeyenderan berkata akses kepada pembiayaan penting kerana pedagang memerlukan kemudahan perbankan untuk membeli kargo dan memenuhi komitmen perniagaan - Foto Maritime Network Sdn Bhd

Advertisement

Ringkasan AI

  • Malaysia disaran melahirkan lebih ramai pedagang petroleum tempatan dan memudahkan akses pembiayaan untuk menjadi hab perdagangan petroleum serantau.
  • Jeyenderan M Ramasamy mencadangkan program latihan enam bulan untuk pelajar sarjana dan PhD, merangkumi pengurusan kewangan dan risiko perdagangan.
  • Kerjasama antara universiti, industri, Petronas dan institusi kewangan penting bagi membangunkan kepakaran tempatan serta memperkukuh keupayaan pembiayaan sektor petroleum.

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pedagang petroleum tempatan serta memudahkan akses kepada pembiayaan bagi merealisasikan hasrat menjadi hab perdagangan petroleum serantau.

Jeyenderan M Ramasamy, yang mempunyai pengalaman 28 tahun dalam bidang perdagangan, berkata pembangunan kepakaran tempatan memerlukan sokongan institusi kewangan dan pemain industri bagi membolehkan pedagang Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu juga mencadangkan pelaksanaan program latihan selama enam bulan untuk pelajar sarjana dan doktor falsafah (PhD), dengan dua hingga empat sesi setiap bulan.

Beliau menjelaskan latihan itu akan merangkumi pengurusan kewangan, prosedur mengenali pelanggan (KYC), usaha wajar serta pengurusan risiko perdagangan.

“Matlamat saya adalah mendidik mereka mengenai kaedah perdagangan dan pembiayaan antarabangsa yang betul. Menjadi pedagang yang cekap memerlukan lebih daripada sekadar pengetahuan mengenai pasaran petroleum.

“Mereka perlu memahami keperluan modal, mengurus perubahan harga dan menilai kemampuan kewangan sebelum melaksanakan urus niaga kargo,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, Jeyenderan berkata akses kepada pembiayaan penting kerana pedagang memerlukan kemudahan perbankan untuk membeli kargo dan memenuhi komitmen perniagaan.

“Tanpa bank menyediakan kemudahan pembiayaan, tidak ada gunanya bercakap mengenai perdagangan di Malaysia,” katanya sambil menggesa supaya lebih banyak sokongan diberikan kepada pedagang tempatan yang ingin memasuki pasaran petroleum antarabangsa.

Berdasarkan pengalamannya, beliau berkata pedagang dari Singapura merupakan antara pesaing utama ketika mula menceburi perniagaan pembekalan bahan api kapal hampir tiga dekad lalu.

Dalam usaha membangunkan bakat baharu, Jeyenderan menambah Maritime Network mengambil kira-kira lima hingga 10 pelatih industri setiap bulan, bergantung pada jumlah permohonan, bagi memberikan pendedahan kepada operasi perkapalan dan amalan industri.

Beliau berkata kerjasama antara universiti, pemain industri, Petronas serta institusi kewangan penting untuk membangunkan kepakaran tempatan serta memperkukuh keupayaan pembiayaan yang diperlukan bagi memajukan sektor berkenaan.

“Supaya lebih ramai pedagang tempatan yang berkemahiran dapat membantu Malaysia merebut peluang dalam pasaran petroleum antarabangsa dan menjana nilai komersial di dalam negara,” ujarnya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement