Akses kepada rawatan ubat antiretroviral bakal diperluaskan kepada semua pesakit HIV di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata ia akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan.

Sehubungan itu, beliau melihat langkah memperluaskan rawatan kepada semua pesakit ini mampu bertindak sebagai serampang dua mata.

"Sekarang sudah bukti-bukti saintifik mengatakan kalau rawatan diberi kepada semua, ia bukan hanya meningkatkan kebarangkalian untuk sembuh, tetapi juga mengurangkan risiko jangkitan.

"Ia sememangnya sudahpun satu langkah pencegahan dan rawatan," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.

Ketika ini, rawatan antiretroviral hanya diberikan kepada pesakit HIV yang mempunyai paras sel darah putih atau CD4 di bawah paras 350.

Dalam pada itu, kementerian juga sedang meningkatkan akses kepada ujian saringan HIV khususnya dalam kalangan golongan berisiko seperti penagih dadah, pekerja seks dan golongan homoseksual.

"Kalau kita boleh kerjasama dengan NGO tertentu yang boleh mengakses kepada mereka dan menawarkan ujian kepada mereka. Ini dapat meningkatkan lagi pengesanan kes-kes sebab dalam kawalan penyakit berjangkit apa-apa penyakit strategi utama adalah mengesan penyakit pesakit supaya kita boleh rawatnya," katanya.

Menerusi pelan strategi baharu berkenaan, beliau berharap selepas lima tahun, semua kes baharu HIV akan dapat dimulakan rawatan antiretroviral.

Langkah itu juga selaras dengan pelan strategi bermatlamat mengakhiri transmisi baharu HIV di negara ini menjelang 2030.