MALAYSIA
Akta JAC: Pinda aspek peranan Ketua Hakim Negara, keanggotaan, ketelusan – Penganalisis

Istana Kehakiman, Putrajaya yang menempatkan pentadbiran badan kehakiman persekutuan negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penganalisis perundangan berpandangan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 [Akta 695] perlu dipinda untuk memastikan proses lantikan hakim persekutuan yang lebih teratur dan tidak mengulangi kelengahan yang berlaku ketika ini.
Ringkasan AI
- Penganalisis mencadangkan agar Ketua Hakim Negara tidak lagi mempengerusikan JAC kerana peranannya dalam menasihati Perdana Menteri sudah termaktub dalam Perlembagaan, dan ini boleh menimbulkan pengaruh tidak seimbang dalam pencalonan hakim.
- Komposisi semasa yang berat kepada wakil badan kehakiman menyukarkan pembentukan majoriti oleh wakil awam, selain kuasa budi bicara Perdana Menteri yang terlalu luas dalam melantik dan menamatkan anggota JAC turut dikritik.
- Kelengahan dalam mengisi jawatan tertinggi kehakiman dan kebimbangan terhadap manipulasi proses pelantikan menimbulkan persoalan sama ada undang-undang benar-benar dipatuhi dan selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Sepatutnya pada pandangan saya, pengerusi JAC perlulah selain daripada Ketua Hakim Negara. Sebab Ketua Hakim Negara sudah ada mandat perlembagaan untuk menasihatkan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Kita perlu ingat kalau Ketua Hakim Negara mempengerusikan JAC, dengan anggota suruhanjaya yang lain terdiri daripada hakim-hakim yang berkhidmat dibawah Ketua Hakim Negara, tidakkah itu menggambarkan pengaruh Ketua Hakim Negara keatas cadangan oleh anggota suruhanjaya yang lain.
“Ini mungkin aspek yang terlepas pandang. Sepatutnya anggota JAC diwakili oleh kumpulan berbeza (selain daripada badan kehakiman). Mungkin dalam kalangan kumpulan profesional, peguam dan pihak-pihak lain yang boleh mencadangkan nama yang layak,” katanya.
Menurut Salehuddin, hakikat kewujudan JAC adalah untuk memberi pilihan calon tambahan kepada Perdana Menteri untuk diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum lantikan hakim dimuktamadkan.
Oleh itu, katanya, apabila Ketua Hakim Negara dan JAC mengemukakan pencalonan masing-masing, maka ia akan memberi ruang yang lebih luas kepada Perdana Menteri untuk menimbangkan calon yang paling sesuai untuk pertimbangan.
Mengulas lanjut mengenai keanggotaan JAC, Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Profesor Madya Shamrahayu Ab. Aziz pula menyentuh mengenai aspek keseimbangan keanggotaan JAC dalam kalangan anggota badan kehakiman dan lantikan Perdana Menteri.
“Empat daripada lantikan ke JAC oleh Perdana Menteri melibatkan individu berpengalaman dan seorang dalam kalangan hakim persekutuan. Empat orang tersebut mungkin dalam kalangan bekas hakim, dengan satu daripada mereka mesti dalam kalangan ahli akademik.
“Jadi wakil badan kehakiman ada lima orang dalam suruhanjaya itu. Dengan komposisi lima (daripada badan kehakiman) dan empat (daripada orang awam), kalau mengundi empat individu yang bukan daripada bukan badan kehakiman tidak akan dapat membentuk majoriti,” katanya.
Selain itu, Shamrahayu juga mengkritik kuasa budi bicara Perdana Menteri yang terlalu luas untuk melantik anggota JAC dan menamatkan pelantikan anggota terbabit.
Dalam temu bual sama, isu ketelusan proses pencalonan hakim persekutuan juga turut dibangkitkan oleh Peguam dan Pengasas Rakyat Penyelamat Negara (RAPERA), Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Ujarnya, polemik yang berlaku hari ini adalah berikutan keprihatinan kumpulan masyarakat yang peka berkenaan proses perundangan. Jahaberdeen berkata kebimbangan yang timbul adalah berkenaan sejauh mana perundangan yang berkuatkuasa ketika ini benar-benar dipatuhi.
“Rakyat yang tahu tentang undang-undang dan proses risau. Bukan mereka tidak tahu ada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mereka tahu ada dua perbezaan (antara kelengahan mengisi jawatan utama kehakiman ketika ini dan sebelum ini).
“Adakah undang-undang diikuti secara munasabah dan adakah pelaksanaannya selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang? Atau ia di manipulasi untuk mencapai suatu agenda. Rakyat merasakan tidak ada ketelusan,” katanya.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim telah bersara masing-masing pada 1 dan 2 Julai lalu.
Setakat Khamis, pengganti rasmi bagi mengisi kedua-dua jawatan tertinggi badan kehakiman itu masih belum diumumkan, walaupun Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 telah berakhir pada hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami