TLDM selamatkan dua nelayan Indonesia hanyut di Pulau Jarak

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan dua nelayan warga Indonesia selepas bot mereka hanyut di laut berhampiran Pulau Jarak di Selat Melaka, dekat Lumut. - Gambar ihsan TLDM
IPOH: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan dua nelayan warga Indonesia selepas bot mereka hanyut di laut berhampiran Pulau Jarak di Selat Melaka, dekat Lumut.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, bot nelayan yang berasal dari Belawan, Indonesia itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut sejak 28 Nov lepas, ketika keluar menangkap ikan.
Kapal Diraja (KD) Kinabalu yang sedang melaksanakan rondaan operasi di sekitar perairan Pulau Jarak pada awalnya mengesan sebuah bot nelayan terapung.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikemudi oleh dua nelayan Indonesia, dan mengalami kerosakan enjin. Bantuan teknikal untuk membaiki enjin telah diberi, namun tidak berhasil kerana kerosakan yang serius dan memerlukan alat ganti.
"Atas dasar kemanusiaan, bantuan logistik, makanan dan pemeriksaan perubatan awal telah diberikan dengan sewajarnya. Kedua-dua nelayan berkenaan telah diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


