Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, pastikan internet lebih selamat

Penggunaan Internet dalam kalangan keluarga dan kanak-kanak semakin meluas, sekali gus menyaksikan peningkatan pelbagai isu yang membimbangkan. - MCMC
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) yang bermula 1 Jan, bertujuan menjadikan Internet lebih selamat untuk keluarga dan kanak-kanak, melalui penetapan tanggungjawab yang jelas kepada platform dalam talian.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata ini kerana, penggunaan Internet dalam kalangan keluarga dan kanak-kanak semakin meluas, sekali gus menyaksikan peningkatan isu seperti penipuan dalam talian, buli siber dan kandungan tidak sesuai.
"Kita mahu ruang digital yang lebih selamat, dengan platform bertanggungjawab, tindakan terhadap kandungan memudaratkan lebih konsisten dan pengguna berasa lebih yakin apabila berada dalam talian. Pendekatan kita berperingkat dan seimbang.
"Matlamatnya bukan menghukum, tetapi mencegah kemudaratan dan membina persekitaran digital yang lebih dipercayai untuk semua rakyat Malaysia," katanya ketika menjadi tetamu dalam program terbitan Bernama Radio hari ini.
Mano berkata kanak-kanak antara kumpulan paling terdedah dalam persekitaran digital. Berdasarkan kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bersama rakan antarabangsa dan tempatan, mengenal pasti lebih 100,000 kanak-kanak di Malaysia berisiko dieksploitasi secara seksual dalam talian.
Beliau berkata operasi penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menemukan ratusan ribu fail berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, membuktikan keperluan kepada pendekatan yang lebih sistematik dan menyeluruh.
"Akta ini memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak tidak lagi bergantung kepada pemantauan sendiri semata-mata, tetapi disokong oleh sistem dan langkah keselamatan pada peringkat platform.
"... melalui akta ini, platform perlu mengambil langkah lebih awal untuk mengurangkan risiko ini supaya kanak-kanak dilindungi sebelum kemudaratan berlaku," katanya.
Mengulas kebimbangan orang ramai mengenai pemantauan pengguna, Mano berkata ONSA 2025 tidak menyasarkan individu atau komunikasi peribadi satu dengan satu, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengurusan risiko dan kandungan memudaratkan oleh penyedia perkhidmatan.
Beliau berkata akta itu mengimbangi peranan semua pihak, dengan platform perlu menyediakan alat dan tetapan keselamatan yang lebih berkesan, ibu bapa dibekalkan panduan yang lebih jelas, manakala masyarakat digalakkan untuk lebih peka serta melaporkan kandungan berbahaya.
Sementara itu, Mano berkata Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sedang meneliti kaedah pelaksanaan sistem verifikasi umur bagi melindungi kanak-kanak dalam talian, termasuk penggunaan pendekatan age assurance untuk mengenal pasti umur sebenar pengguna.
Beliau berkata sistem seumpama itu telah dilaksanakan di Australia sejak Disember lepas, susulan penguatkuasaan undang-undang yang melarang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial, dengan beberapa kelonggaran tertentu.
Mano berkata bagi Malaysia, MCMC sedang mengkaji penggunaan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan, seperti kad pengenalan dan pasport bagi tujuan verifikasi umur, selain mencadangkan platform hanya dibenarkan mendaftarkan pengguna berusia 16 tahun ke atas.
Beliau berkata mekanisme terbaik masih dalam peringkat penelitian dan perincian lanjut mengenai pelaksanaannya dijangka dimaklumkan kepada orang ramai menjelang pertengahan tahun ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


