Kerajaan tekad untuk terus berusaha untuk mengekang aktiviti berhubung penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia diteruskan menerusi penguatkuasaan Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016 dan Akta Anugerah 2016 yang mula berkuatkuasa pada Rabu.

"Pindaan Akta ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memelihara institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri daripada dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Oleh itu, Kerajaan telah menaikkan hukuman penalti dan hukuman penjara dimasukkan untuk mencerminkan keseriusan kesalahan dan sebagai faktor pencegahan kepada masyarakat.

"Diharapkan dengan kuatkuasanya Akta ini mampu menangani kes-kes penipuan yang melibatkan orang awam," katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Jelasnya lagi, bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, orang awam boleh layari laman web protokol Persekutuan iaitu www.istiadat.gov.my untuk menyemak senarai daftar semua anugerah di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri-negeri.