Skip to main content

Malaysia

Kerajaan cadang pinda Akta Perkhidmatan Pos, perkukuh kawal selia kurier

Sumber: Astro AWANI
Fahmi (foto) berkata cadangan pindaan tersebut sedang diteliti Kementerian Komunikasi bersama MCMC susulan kebimbangan berhubung penyalahgunaan perkhidmatan kurier untuk penghantaran barangan terlarang. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang meminda Akta Perkhidmatan Pos bagi memperkukuh kawal selia industri kurier termasuk meningkatkan aspek keselamatan penghantaran bagi mengelakkan perkhidmatan itu disalah guna untuk aktiviti menyalahi undang-undang.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan pindaan tersebut sedang diteliti Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan kebimbangan berhubung penyalahgunaan perkhidmatan kurier untuk penghantaran barangan terlarang.

Menurut beliau, perkara itu turut dibincangkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memperketat pemantauan terhadap sektor berkenaan.

“Sejak tahun lalu, MCMC telah mengadakan sesi libat urus dengan syarikat-syarikat kurier bagi mendapatkan kerjasama mereka untuk memastikan sebarang produk yang dihantar tidak menimbulkan isu keselamatan atau melanggar undang-undang.

“Pada masa sama, MCMC dan Kementerian Komunikasi sedang meneliti Akta Perkhidmatan Pos untuk membuat beberapa pindaan termasuk memastikan sektor kurier diperincikan dalam akta itu serta memperkukuh aspek keselamatan seperti yang diminta pihak PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026, di sini, pada Khamis.

Fahmi berkata pindaan berkenaan dijangka dibentangkan sama ada pada mesyuarat pertama atau selewat-lewatnya mesyuarat kedua Parlimen tahun depan.

PDRM sebelum ini memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan MCMC serta Kementerian Pengangkutan bagi memperketat prosedur melibatkan perkhidmatan kurier, penghantaran barangan dan p-hailing.

Langkah itu dilihat penting dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah serta barangan terlarang yang dipercayai semakin kerap menggunakan perkhidmatan penghantaran sebagai saluran operasi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan terdapat kelemahan dalam ekosistem perkhidmatan kurier dan p-hailing yang dieksploitasi sindiket jenayah untuk menghantar bahan terlarang.

Menurut beliau, sindiket terbabit turut menggunakan identiti palsu, identiti individu lain serta alamat pihak ketiga bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelakkan dikesan.

Must Watch Video

Advertisement