KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam bentuk asalnya kerana ia dianggap mengenakan beban cukai secara menyeluruh termasuk kepada golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bagaimanapun terbuka untuk menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau mengadaptasi beberapa elemen tertentu daripada GST, selagi ia tidak menjejaskan kebajikan golongan miskin.
Menurut beliau, prinsip utama Kerajaan MADANI adalah memastikan rakyat yang berada dalam kelompok pendapatan terendah tidak dibebankan dengan cukai tambahan.
“Kita boleh membuat beberapa penyesuaian atau menambah baik SST, malah mengambil beberapa komponen GST jika perlu.
“Tetapi prinsip utama Kerajaan MADANI adalah tidak mengenakan cukai kepada golongan yang sangat miskin. Oleh itu, GST sebagai satu prinsip tidak boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026, di sini, pada Khamis.
Mengulas kemungkinan pelaksanaan cukai terhadap pembayaran elektronik, Anwar berkata sebarang cadangan berkaitan perlu dinilai berdasarkan kerangka percukaian negara yang lebih menyeluruh.
Katanya, kerajaan akan terus berpegang kepada pendekatan percukaian yang lebih adil dan bersasar, tanpa menambah beban kepada rakyat berpendapatan rendah.
“Saya tidak bersedia mempertimbangkan asas utama GST kerana ia merupakan cukai menyeluruh yang dikenakan kepada semua rakyat termasuk golongan paling miskin,” katanya.
Anwar menegaskan, usaha memperkukuh hasil negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan keperluan melindungi kebajikan rakyat, khususnya kelompok rentan yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.