Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu kerajaan akan mengkaji semula Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) untuk menempatkan tahanan kanak-kanak agar tidak disamakan atau disatukan bersama tahanan dewasa.

Katanya, tahanan kanak-kanak tidak sepatutnya didedahkan dalam persekitaran seumpama itu.

“Jadi saya dengan Menteri, kita juga akan berbincang kerana memang ada alasan untuk menjaga keselamatan.

“Bagi kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, saya rasa kita patut melihat isu ini dengan lebih dalam kerana setiap daripada mereka patut diberikan peluang atau menjalani pemulihan,” katanya pada Jumaat.

Wan Azizah berkata demikian ketika ditemui pada siding akhbar selepas mengedarkan buah limau Mandarin di Pasar Pandan Perdana dan Pasar Taman Muda sempena Tahun Baru Cina Parlimen Pandan.

Ia bagi mengulas Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah POCA.

Wan Azizah yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri turut memberitahu, tiada mana-mana individu bawa umur yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

“Berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan Jenayah, sehingga 30 Januari 2019, terdapat seorang tahanan bawah umur (ketika ditahan berusia 18 tahun).

“Dia kini masih lagi menjalani tahanan dua tahun di Pusat Pemulihan Khas Kluang, Johor,” katanya.

Berhubung dengan peranti pemantauan elektronik (EMD), Wan Azizah berkata, beliau difahamkan ia dibuat selepas diluluskan atau ditapis oleh LPJ atau yang terlibat dalam jenayah serius.